PETALING JAYA, 20 Mac 2025 – Menyambut Aidilfitri dengan rumah yang kemas pastinya menjadikan suasana lebih ceria. Bagi memeriahkan lagi sambutan Syawal tahun ini, kumpulan Top 5 Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) tampil dengan kejutan istimewa melalui pelancaran lagu raya terbaharu mereka, Kemas Kemas Raya!.
Lagu yang menggabungkan elemen muzik tradisional dan moden dalam genre pop ini bukan sekadar hiburan, malah membawa perspektif segar yang jarang diketengahkan dalam lagu raya. Dengan lirik yang unik dan melodi yang menarik, Kemas Kemas Raya diharapkan dapat menjadi pilihan utama pendengar dalam menyambut lebaran tahun ini.
Keunikan Dan Mesej Lagu
Setiap anggota Top 5 CSOIAM – Marygrace, Kai Deva, Jimi, Zazzleen, dan Mariam – amat teruja dengan projek ini. Mereka percaya bahawa lagu ini membawa kelainan dengan lirik yang mengingatkan pendengar tentang kepentingan mengemas rumah sebelum menyambut raya.
“Selalunya lagu raya lebih tertumpu kepada duit raya, makanan tradisional, atau amalan bermaafan. Kami ingin memberikan sesuatu yang lebih unik dengan menyampaikan mesej mudah tetapi penting – iaitu kemas rumah sebelum raya!” ujar Adam Stapler, komposer dan penulis lirik Kemas Kemas Raya.

Proses Pembinaan Lagu
Berkongsi pengalaman di sebalik tabir, Adam menyatakan bahawa bekerja dengan Top 5 CSOIAM adalah satu pengalaman yang lancar dan menyeronokkan. “Mereka sudah biasa dengan disiplin ketika bertanding dalam pertandingan realiti, jadi proses rakaman menjadi lebih mudah. Dalam masa sehari sahaja, mereka sudah menghafal dan memberikan komitmen penuh untuk menjayakan lagu ini,” katanya.
Menariknya, sesi rakaman lagu ini diselesaikan dalam tempoh empat jam sahaja, menjadikannya antara rakaman terpantas yang pernah mereka lakukan. “Kami dapat demo lagu pada sebelah petang dan terus masuk studio pada waktu malam. Setiap anggota hanya mengambil kira-kira satu jam untuk merakam bahagian masing-masing,” jelas Zazzleen.
Meskipun prosesnya pantas, setiap anggota kumpulan diberikan bimbingan untuk memastikan hasil akhir terbaik. Menurut Mariam, “Adam banyak membantu dalam memberikan gambaran dan hala tuju lagu ini. Sepanjang rakaman, dia berkongsi banyak idea kreatif yang menjadikan lagu ini lebih menarik.”
Cabaran Dan Harapan
Walaupun Kemas Kemas Raya adalah lagu yang ceria dan santai, ia tetap memberikan cabaran kepada kumpulan ini, terutama dalam aspek kawalan vokal dan penghayatan emosi. “Kami perlu memastikan semangat raya benar-benar dapat dirasai menerusi penyampaian lirik yang bertenaga dan penuh keceriaan,” kata Kai Deva.
Sebagai lagu raya pertama mereka, Top 5 CSOIAM berharap Kemas Kemas Raya dapat diterima baik oleh peminat dan menjadi lagu wajib dimainkan setiap kali menjelang Syawal. “Lagu ini sangat dekat dengan realiti ramai orang – perlu kemas rumah sebelum raya! Harapnya, pendengar boleh pasang lagu ini sambil mengemas untuk menaikkan mood raya,” kata Marygrace dengan penuh semangat.
Sementara itu, Jimi menambah, “Saya berharap lagu ini dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan rakan-rakan, menjadikan sambutan raya lebih bermakna.”
Dengarkan Sekarang!
Kemas Kemas Raya kini boleh didengarkan di pelbagai platform penstriman seperti Spotify, iTunes, dan YouTube Music. Jangan lupa untuk menjadikan lagu ini sebagai sebahagian daripada senarai main raya anda dan kongsikan dengan rakan-rakan serta keluarga. Raya lebih seronok dengan rumah yang kemas, badan yang sihat, dan hati yang tenang!