KOTA KINABALU, 29 DISEMBER 2021 – Ekspedisi Trans Borneo ‘Land Below The Wind’ (TBLBW) 2021 telah melabuhkan tirainya pada acara penutup di Seafest Hotel Semporna, Sabah 18 Disember lalu. Acara tahunan yang dianjurkan oleh North Borneo Explorer dipengerusikan oleh Anuar Ghani bermula sejak tahun 1985 lagi. Bermula dengan nama ‘Camel Trophy’ dan kemudiannya ditukar kepada nama ‘Trans Borneo’ pada tahun 1988 dan seterusnya kekal untuk edisi 2021 ini.
Berkonsepkan budaya (Culture), warisan serta sejarah (Heritage and History), cabaran (Adventure) dan alam semula jadi (Nature) atau lebih dikenali dengan singkatan CHAN, memberi fokus dalam memperkenalkan budaya etnik masyarakat, pemeliharaan warisan serta sejarah yang ada di negeri Sabah sepanjang laluan ekspedisi ini.
Ekspedisi Trans Borneo 2021 ini telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Sepanjang laluan lasak (hardcore) beberapa kenderaan pacuan empat roda telah rosak mengakibatkan para peserta menangguhkan perjalanan sehingga kenderaan mereka selesai dibaiki. Semangat kerjasama antara peserta dapat dilihat sepanjang ekspedisi ini dengan saling membantu sesama mereka.

Cabaran melalui laluan dengan struktur bentuk muka bumi atau geografi di Negeri Bawah Bayu ini menjadikan satu pengalaman yang berharga bagi peserta sambil menikmati keindahan panorama alam semula jadi sepanjang laluan lasak (hardcore) dan laluan ke tempat-tempat pelancongan atau santai (touring) bermula dari pantai barat hinggalah ke pantai timur Sabah.
Dalam ekspedisi Trans Borneo 2021 kali ini, Bahagian Penyiaran JAKIM telah dijemput bagi membuat liputan khas sepanjang program ini untuk siaran RTM. Program ini bukan sekadar menumpukan perjalanan ekspedisi sahaja tetapi disertai dengan Misi Kemanusiaan. Sumbangan bantuan berbentuk keperluan asas makanan telah dihulurkan kepada golongan yang memerlukan. Dana bantuan telah diinfaqkan melalui sumbangan orang ramai kepada NGO Persatuan Amal dan Kebajikan Bencana Malaysia. Yayasan Taqwa telah memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menyerahkannya kepada golongan asnaf di sepanjang laluan ekspedisi ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Zabidi Nasan berkata, “Apabila kita mendapat permohonan daripada Persatuan Amal dan Kebajikan Bencana Malaysia yang bekerjasama dengan Bahagian Penyiaran JAKIM untuk ke Sabah bagi melaksanakan misi kemanusiaan di kawasan pedalaman, Yayasan Taqwa amat menyambut baik dan ini adalah peluang untuk Yayasan Taqwa mengenal pasti lebih banyak golongan asnaf di negeri ini yang perlu dibantu.”
Beliau percaya dengan liputan yang dibuat oleh Bahagian Penyiaran JAKIM bersama North Borneo Explorer serta Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA), dalam menyampaikan maklumat dan data agar agensi-agensi yang bertanggung jawab dapat menyalurkan lebih banyak bantuan di kawasan pendalaman Sabah untuk masa akan datang.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyiaran JAKIM, Haji Idzham Hadi Haji Sidik, mempunyai pengalaman luas dalam program Trans Borneo sebelum ini berkata, “program lasak atau extreme seperti ini bukan sahaja menguji ketahanan mental dan fizikal kita, tetapi lebih kepada menguatkan lagi jalinan kerjasama dan juga merapatkan ukhwah persahabatan.”
Beliau juga menyentuh para peserta yang mengikuti program ini meliputi pelbagai kaum, agama, peringkat umur dan latar belakang yang berbeza.
“Walaupun kita berlainan agama dan suku kaum, namun semua peserta saling hormat menghormati antara satu sama lain, biar pun kita di dalam hutan, mereka mengingati kami yang beragama islam untuk menunaikan kewajiban solat. Dalam tempoh ekspedisi ini, ikatan kami ibarat saudara, hubungan kami akrab bagaikan adik-beradik dan inilah sebenarnya ‘Keluarga Malaysia’.” Ujarnya.

Trans Borneo (TBLBW) 2021 menarik minat lebih 80 orang peserta. Bermula dari Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) peserta dilepaskan menuju ke checkpoint pertama, Taman Kinabalu. Mereka dibahagikan kepada dua pasukan ekspedisi iaitu laluan ke tempat-tempat pelancongan (touring) atau lebih dikenali dengan laluan santai dan laluan lasak (hardcore).
Cabaran pertama pasukan hardcore menuju ke kawasan pergunungan Mamut di mana kawasan tersebut terletaknya tinggalan lombong tembaga. Keadaan cuaca yang terlalu sejuk dan kabus yang tebal menyelimuti tubuh peserta yang bermalam di kawasan tersebut. Seterusnya ekspedisi pasukan hardcore meneruskan perjalanan dengan melalui laluan berbatu serta berlumpur termasuk menyeberangi sungai Tongod dan bermalam di dalam hutan yang tebal dan gelap. Terdapat juga kereta pacuan empat roda yang rosak akibat menempuh halangan curam, terbenam akibat selut lumpur yang tebal dan adakalanya tergelincir ketika menyeberangi titian kayu.
Bagi pasukan touring, peserta pacuan empat roda dibawa ke taman-taman Sabah antaranya lawatan ke Sabah Tea, perkhemahan di sungai Kun-Kun, menyelusuri sungai Kinabatangan, Memorial Perang Kundasang serta pelbagai lagi tempat-tempat yang menjadi daya tarikan pelancong.
Kemuncak program bagi kedua-dua pasukan berakhir di Pulau Bohey Dulang yang mengambil perjalanan selama setengah jam dari jeti Semporna dengan menaiki bot. Keindahan dan kejernihan air sekeliling pulau dapat dilihat dari atas bukit setinggi 700 meter. Peserta juga diberi peluang untuk penanaman semula terumbu karang di sekitar pulau tersebut.
Pengerusi North Borneo Explorer, Anuar Ghani menjelaskan penyertaan peserta yang amat menggalakkan pada acara Trans Borneo tahun ini membuahkan idea untuk dibahagikan kepada dua pasukan agar kedua-dua pihak dapat merasai pengalaman pemanduan pacuan empat roda dan menikmati keindahan yang ada di Negeri Sabah ini.
“Bila mereka menonton video kami di Youtube, mereka teruja untuk menyertai program Trans Borneo ini. Kami tidak mampu untuk membawa kesemuanya ke laluan lasak. Saya mendapat idea dengan membahagikan kepada dua team iaitu hardcore dan touring. Mereka semua dapat merasai keseronokan, bermalam di tapak perkhemahan dan menikmati keindahan di negeri Sabah ini dan kesemua mereka dapat dikumpulkan semula diakhir acara.” Kata Anuar.
Selain penganjur North Borneo Explorer, program ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya Kerajaan Negeri Sabah, Persatuan Amal dan Kebajikan Bencana Malaysia, Yayasan Taqwa, serta Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA). Edisi kali ini melibatkan penyertaan 40 buah kenderaan dengan 80 peserta yang dibahagikan kepada dua laluan hardcore dan touring.














