PETALING JAYA, 12 April 2025 – Setelah hampir tujuh tahun tersimpan, lagu Lumrah Cinta, ciptaan Syamel dan Aepul Roza, akhirnya menemui takdirnya apabila diberi nafas baharu menerusi suara lunak penyanyi muda berbakat, Puteri Khareeza. Lagu ini diterbitkan di bawah label Alternate Records & Talents.
Berlandaskan genre pop balada, Lumrah Cinta mengangkat kisah kekecewaan dan penerimaan semula terhadap cinta yang pernah melukakan. Dengan suntikan segar daripada segi susunan muzik dan lirik, lagu ini kini tampil lebih matang dan penuh emosi, menjadikannya dekat di hati pendengar yang pernah melalui pengalaman serupa.
Menurut Aepul Roza, idea asal lagu ini tercetus daripada Syamel dengan melodi awal yang dicipta sekitar tujuh tahun lalu.
“Tahun ini, rezeki kami bertemu penyanyi yang sesuai untuk lagu ini. Kami ubah sedikit melodi dan lirik asal, dan alhamdulillah hasilnya sangat memuaskan. Lagu balada memang genre kegemaran saya untuk diterbitkan. Gabungan penulisan saya dan Syamel dalam lagu ini menghasilkan sesuatu yang cukup istimewa,” katanya.

Puteri Khareeza yang menggalas tanggungjawab menyampaikan lagu tersebut, menyifatkan pengalaman merakamkan Lumrah Cinta sebagai satu pengalaman bermakna dalam perjalanan seninya.
“Saya sangat teruja dan pada masa yang sama gementar kerana Syamel dan Aepul ialah nama besar dalam industri muzik yang saya kagumi. Mereka sangat profesional dan banyak memberi tunjuk ajar sepanjang sesi rakaman,” kata Puteri Khareeza.
Tambah beliau lagi, cabaran utama lagu ini adalah menyampaikan penghayatan yang mendalam pada setiap bait lirik, apatah lagi apabila demo asalnya dirakam sendiri oleh komposer, Syamel.
“Dari segi vokal pun agak mencabar, tetapi alhamdulillah, proses rakaman hanya mengambil masa dua jam untuk disiapkan,” ujarnya.
Lumrah Cinta kini boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.