KUALA LUMPUR – “Kalau gagal saya ok sebab saya dah buat, saya lega dapat laksanakan impian saya, kerja ini memang ‘kerja gila’ tetapi semua ini adalah untuk industri muzik kita, sementelahan dapat bergabung dengan pemain-pemain gitar terhebat dan bersama-sama bertukar pendapat serta berkongsi idea, jika saya seorang sahaja, mustahil saya mampu untuk laksanakan semua kerja ini,” kata Jo Branko yang mencetuskan idea untuk memulakan projek menggabungkan tujuh pemain gitar tanah air di atas satu pentas.
Jo bakal beraksi dalam konsert Tujuh Vibrato Gitar yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November 2023 bersama Kidd Search, Man Keedal, Shah Slam, Jemboo Def Gab C serta pemain gitar muda Muzza dan Anis Kalisa. Mereka akan diiringi oleh kumpulan Barbarik yang dianggotai oleh Rozaimie (bass), Adi Yamin (keyboard) dan Ainoll (drum).
Konsert yang dijangka bermula jam 8.30 malam berdurasi selama 2 jam setengah akan mempersembahkan sebanyak 21 buah karya dengan 14 buah lagu yang akan dinyanyikan oleh penyanyi rock lagenda, Muss bersama penyanyi bersuara lantang, Dato’ Hattan dan bekas vokalis kumpulan Kristal, Lan Solo.
“Semua lagu macam lagu baharu cuma melodinya sahaja kita akan kekalkan, kita dah masuk hari ke 36 untuk sesi latihan dan semuanya mengikut jadual yang telah disusun. Kebanyakan lagu-lagu yang dipersembahkan adalah lagu era zaman saya iaitu era 80 dan 90an antaranya lagu yang bakal dipersembahkan seperti Perjuangan, Hati Emas nyanyian kumpulan Kembara, kita akan bawa lagu dari kumpulan Search, May, Rusty Blade dan Ramli Sarip. Kebanyakannya lagu-lagu berirama rock dan istimewanya ada segmen akustik dengan lagu madley yang menjadi jantung konsert tersebut.” Ujar Jo lagi.
Kendatipun konsert ini lebih memfokuskan kepada persembahan gitar, namun bagi Muss dari segi nyanyian juga amat penting dan tidak boleh diambil ringan kerana kesemua lagu-lagu yang akan dibawanya nanti telah ditukar dari segi arrangement muzik agar lebih tampak segar.
“Walaupun part saya ada sebahagian sahaja tapi kita kena bagi sepenuh komitmen sebab dari segi arrangment muzik kebanyakannya telah ditukar, sebelum latihan kita ada pre pro terlebih dahulu jadi saya dah faham apa kehendak Joe, bila kita semua memulakan latihan bersama tak adalah nak argue,” kata Muss.
Selain dari proses pemilihan lagu, perkara yang amat penting dan mencabar untuk menjayakan konsert ini adalah dari segi teknikal. Tujuh gitar elektrik dan tujuh gitar akustik akan digunakan untuk persembahan itu nanti, bermula dari pemasangan, pengujian bunyi, pertukaran gitar semuanya perlu dibuat dengan teliti dan cekap agar tidak ada kecacatan sewaktu beraksi di atas pentas itu nanti.
Menurut Jo lagi, posisi pemain gitar dan penyanyi juga telah ditetapkan agar penonton yang menyaksikan mendapat kepuasan yang maksimal mungkin.
“setiap kali konsert mesti kita nak bagi orang puas, saya harap mereka akan puas dengan apa yang kita bagi pada malam itu nanti, dari segi gubahan lagu, momentem show dan saya yakin penonton akan puas hati selepas tamatnya konsert itu nanti.”
Apa yang kita buat ini satu eksperimen untuk orang lain dengar bukan untuk kita, kalau kita main ikut syok kita, ianya akan habis macam tu sahaja tetapi kita buat supaya halwa telinga penonton yang mendengar muzik yang kita mainkan itu lebih sedap dan menjadi satu pengalaman yang mungkin akan diingati sampai bila-bila, kita harap macam tu la.” Ujar Jo Branko.
Dianjurkan oleh oleh Big Stage Entertainment Channel dan Anggerik Event Sdn Bhd sebagai Penganjur Bersama, menjadikan konsert ini lain dari konsert-konsert yang lain. Kebanyakan penganjur yang ingin merealisasikan konsert seperti ini tidak mampu untuk dilaksanakan kerana kos yang terlalu tinggi dan kerjanya yang lebih rumit.
“Banyak orang nak buat show seperti ini, lebih memfokuskan kepada pemuzik tapi tak kesampaian sebab kosnya terlalu tinggi, kerjanya lagi rumit tetapi sebenarnya baik untuk industri muzik kita, untuk diri sendiri dan ianya amat berbaloi jika ada peminat yang menyokong.” Kata Jo lagi.
Tambahnya lagi, “Kalau konsert ini success kita akan adakan lagi untuk konsert vol 2, vol 3, mungkin kita tambah lagi, maybe akan datang konsert untuk pemain dram pula, kita kena pecahkan ruyung tu dulu, konsert yang ini kita kena pecahkan dulu, jika orang boleh accept bukan saya sahaja maksudnya orang lain pun kalau ada idea dia boleh buat sebab konsert ini boleh dijadikan sebagai benchmark.
Jualan tiket konsert Tujuh Vibrato Gitar amat menggalakkan dan sehingga setakat ini tiket-tiket sudah pun terjual sebanyak 70 peratus. Konsert yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November ini, bolehlah mendapatkan tiket dengan melayari www.tix-box.com. Harga tiket mengikut kategori Cat 1 Rock Zone RM188 (berdiri), Cat 2 Normal Seats RM278.00 (bernombor), Cat 3 Premium seats RM338 (bernombor) dan Cat 4 VIP box RM5,000 (8 pax/box).
“Sebenarnya kita harap peminat datang enjoy this show dan ianya satu konsert yang tak akan jumpa di tempat lain, mungkin akan datang pun ianya tak akan jadi macam ini, harap kerja keras kita berbaloi pada malam itu, maksudnya orang ramai yang datang dan berpuas hati, itulah harapan kita, macam saya sebagai artis nak buat sesuatu untuk industri dan harapnya konsert malam itu succsess hendaknya.” Jo mengakhiri bicara.