May 22, 2024

KUALA LUMPUR – Lama tidak keluar dengan lagu berentak poprock, vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi Priyo muncul dengan single terbaharu berjudul Tulus.

Lagu Tulus ciptaan sepenuhnya komposer Aiman Sidek ini menampilkan kolaborasi Adi bersama penyanyi Nabila Razali.

Adi Priyo

Lagu ini turut dipilih menjadi runut bunyi bagi drama yang sedang ditayangkan di slot Samarinda di TV3, Bukan Puteri Lindungan Bulan (lakonan Janna Nick dan Hisyam Hamid). Drama tersebut merupakan adaptasi dari sebuah novel terlaris pada tahun 2002 oleh novelis Liana Afiera Malik.

Menurut Adi, projek istimewa ini merupakan hadiah untuk peminat yang lama menantikan buah tangan terbaharunya.

Beliau juga bersyukur kerjasama pertama dengan Nabila Razali berjalan lancar seperti dirancang.

“Ini hadiah saya untuk mereka. Saya harap peminat dapat menerima lagu ini sama seperti karya-karya sebelum ini, “ katanya.

Nabila Razali

Tulus berkisahkan tentang sebuah perjalanan dalam perhubungan cinta yang mulai renggang antara satu sama lain. Ego membuatkan masing masing hanya memendam rasa rindu dan cinta antara mereka. Sedangkan masih tulus merindui dan mencintai satu sama lain hingga akhirnya.

Tulus merupakan kolaborasi antara tiga syarikat iaitu Nabila Razali Entertainment, Global Keynote dan Alternate Records Sdn Bhd serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Lagu Tulus boleh distrim disemua platform digital bermula semalam. Manakala muzik video rasmi Tulus akan menyusul menerusi saluran YouTube Nabila Razali Entertainment.

Tulus kolaborasi Adi bersama Nabila Razali