December 4, 2024

TV AlHijrah baru-baru ini telah berjaya meraih dua anugerah yang mengiktiraf usaha dan dedikasinya dalam penyiaran kandungan Islam di Malaysia.

Anugerah pertama adalah Anugerah Kecemerlangan penciptaan kandungan Islam, anjuran Halal Development Corporation (HDC). Pengiktirafan ini membuktikan komitmen TV AlHijrah dalam menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang selaras dengan prinsip Islam, sekaligus memperkukuhkan lagi peranan stesen ini sebagai peneraju media Islamik di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed, menyatakan kesyukurannya atas pengiktirafan yang diterima ini sambil menegaskan bahawa kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama seluruh pasukan TV AlHijrah yang gigih berusaha untuk menghasilkan kandungan bermanfaat, mendidik dan memberi aspirasi kepada masyarakat.

Nadzariah menerima Anugerah World Islamic Excellence Award

“Alhamdulillah, pengiktirafan ini adalah hasil usaha gigih setiap warga kerja TV AlHijrah yang ikhlas dan komited menyampaikan mesej Islam yang membawa kebaikan. 

“Ia juga menjadi dorongan bagi kami untuk terus memperkayakan variasi kandungan Islamik dan memperbanyakkan lagi konten-konten halal yang boleh memberi manfaat kepada ummah,” katanya dalam ucapannya pada hari tersebut.

Nadzariah turut berkongsi rasa bangga atas kemenangan TV AlHijrah di Anugerah Seri Angkasa 2024 yang baru sahaja diterima, menambah lagi kepada pencapaian luar biasa stesen ini tahun ini.

“Kemenangan TV AlHijrah di Anugerah Seri Angkasa 2024 baru-baru ini benar-benar mengukuhkan lagi reputasi kami dalam penerbitan kandungan berkualiti tinggi yang membawa mesej kebaikan dan inspirasi. Kami bersyukur atas pengiktirafan ini dan komited untuk terus memberikan yang terbaik,” katanya.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia 2023, anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Halal Development Corporation (HDC), telah memberi penghormatan kepada TV AlHijrah atas sumbangan dalam penyebaran kandungan berteraskan Islam. Anugerah ini disampaikan oleh Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Pegawai-pegawai kanan TV AlHijrah turut hadir bagi meraikan detik bersejarah ini.

Selain TV AlHijrah, beberapa syarikat lain seperti Zus Coffee, Muslim Pro, Safi, Mamee, dan Wardah turut menerima pengiktirafan dalam kategori masing-masing. Majlis tahunan ini bertujuan mengiktiraf pemain industri halal yang menyumbang secara signifikan dalam memajukan ekonomi Islam serta memartabatkan industri halal di Malaysia dan peringkat global.

Zaim dan Shima menerima Anugerah Seri Angkasa

Anugerah yang disampaikan meliputi kategori seperti Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Antarabangsa Halal, Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Halal, Anugerah Kecemerlangan Logistik Halal, Anugerah Kecemerlangan Makanan dan Minuman Halal, Anugerah Kecemerlangan Jenama Terkemuka Halal, dan Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam. Kejayaan ini merupakan satu langkah signifikan dalam memastikan nilai-nilai Islam terus dihormati dan diperkasa dalam pelbagai sektor.

Semoga TV AlHijrah terus maju dalam menyampaikan dakwah yang penuh hikmah, mengukuhkan jiwa ummah, dan memperluaskan lagi konten-konten halal yang Islami, inklusif, dan dekat di hati penonton.