
KUALA LUMPUR : Tanggal 1 Muharam 1444H cukup bermakna pada tahun ini kerana tarikh istimewa ini menyaksikan TV AlHijrah menginjak usia dua belas tahun selepas memulakan siaran secara rasmi pada 1 Muharam 1432H.
Walaupun masih mentah jika dibandingkan dengan stesen televisyen yang lain, namun kehadiran TV AlHijrah dalam mewarnai atmosfera penyiaran negara meninggalkan kesan positif terutamanya dalam mencorak industri penyiaran berkonsepkan Islam di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, “Bukan mudah untuk TV AlHijrah mampu duduk sebaris dengan stesen penyiaran lain dalam dan luar negara. Dua belas tahun mempertahankan jenama penyiaran Islam bukannya satu tempoh yang singkat, namun semuanya berbaloi apabila penonton setia stesen ini menjadikan TV AlHijrah madrasah ilmu di kaca televisyen dan juga di aplikasi telefon bimbit mereka.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada penonton yang senantiasa menyokong usaha dakwah TV AlHijrah. Sebagai tanda penghargaan sepanjang dua belas tahun ini, kami turuti kehendak mereka yang mahukan stesen ini tampil utuh di platform digital. Oleh yang demikian, kami beriltizam untuk memperkemaskan kandungan TV AlHijrah di aplikasi AlHijrah Plus (AH).
“Pemilihan tema ‘Satukan Ummah dengan Ilmu’ sangat bertepatan dalam menterjemahkan hasrat kami untuk menyemarakkan sambutan ulang tahun ini. Kami mahu penonton semua menjadikan TV AlHijrah sebagai ‘qalbu ilmu’, tonggak utama yang membentuk kekuatan ilmu dan kesatuan ummah,” jelas Namanzee.
Menurut Namanzee, sudah sampai masanya TV AlHijrah tampil agresif dan progresif dalam membangunkan jiwa ilmu yang membolehkan masyarakat madani berkembang seperti yang dituntut oleh ajaran Islam.

“Justeru itu, bermula hari ini hingga hari-hari mendatang, kami dedikasikan dwi platform kami iaitu platform televisyen dan platform digital sebagai gedung ilmu yang diyakini mampu memacu kepesatan ilmu bermanfaat yang membangunkan negara dan kesatuan ummah. Tontonlah kami untuk meraikan dan menghargai kepelbagaian ilmu, pendapat serta pandangan.
“Sedari awal penubuhan, TV AlHijrah telah menerbitkan pelbagai genre program yang berjaya meraih peratusan tontonan yang tinggi. Antaranya, Berita AlHijrah, #MY QuranTime, Assalamualaikum, Assalamualaikum Sahur, Analisis, Ayat Riwayat, Labbaikallah, Cinta Ilmu, Dialog Harmoni, Ejen Halal, Hijrah Berselawat, Gema Haflah, Camca dan pelbagai rancangan istimewa yang lain.
“Bergerak ke hadapan, kami sajikan pelbagai sajian yang menyatupadukan ummah dengan ikatan ilmu seperti rancangan Murobbi, Dakwah Live, Assalamualaikum Subuh, Akademi Qurra’, Akademi Daie Muda YADIM, Komedi Dakwah, Dokumentari Tabligh, Majalah Islam dan banyak lagi.
“Di kesempatan ini, saya ingin sampaikan ucapan tahniah dan syabas kepada kakitangan TV AlHijrah atas komitmen yang diberikan termasuklah yang di sebalik tabir. Sepanjang pengalaman saya berada di stesen ini, saya dapat lihat dedikasi yang telah diberikan setiap mereka dalam memastikan pengisian hebat dapat dihidangkan setiap hari di televisyen tanpa gagal,” ucap Namanzee.
TV AlHijrah turut melancarkan gegantung gergasi istimewa bersempena dengan ulang tahun ke-12 mereka. Pelancaran gegantung gergasi ini disempurnakan dengan bacaan doa memohon kesejahtaraan TV AlHijrah dan seluruh rakyat Malaysia oleh Imam Besar Masjid Negara, Tuan Haji Ehsan Mohd. Hosni.
