KUALA LUMPUR, 15 Mac – TV AlHijrah meneruskan usaha menyemarakkan Ramadan dengan program Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, sebuah inisiatif tahunan yang bukan sekadar mengagihkan juadah berbuka puasa, tetapi juga mengeratkan ukhuwah dan menyantuni masyarakat yang memerlukan.
Program Hijrah Prihatin Bubur Lambuk tahun ini akan diadakan di dua lokasi utama, iaitu Lembah Klang dan Pulau Sebang, Melaka. Setiap lokasi membawa kelainan tersendiri dalam usaha menyebarkan kebaikan serta berkongsi rezeki selari dengan ajaran Islam.

Di Lembah Klang, pengagihan bubur lambuk akan berlangsung di beberapa kawasan utama, antaranya Flat Taman Mulia, Cheras pada 19 Mac, Madrasah Seksyen 4, Wangsa Maju (20 Mac), Masjid Gombak Utara (21 Mac), dan Sekolah Tahfiz Al-Habbah, Batu Caves (24 Mac). Sasaran utama program ini adalah golongan asnaf, jemaah masjid, pelajar tahfiz serta petugas barisan hadapan yang bakal menerima agihan bubur lambuk dalam suasana penuh kemesraan.
Menurut Pengurus Hal Ehwal Korporat merangkap Pengurus Projek Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, Muhammad Sazri Abd Sani, program ini lebih daripada sekadar tradisi tahunan. “Sebagai sebuah stesen televisyen Islam, TV AlHijrah bukan hanya menyampaikan dakwah melalui siaran televisyen tetapi juga aktif dalam program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada umat Islam. Ramadan adalah waktu terbaik untuk memperkukuhkan ukhuwah dan menzahirkan keprihatinan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, program di Pulau Sebang, Melaka pada 14 Mac akan melibatkan kerjasama strategik dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Masjid Aleyah Kuala Ina menjadi lokasi utama bagi aktiviti memasak dan pengagihan bubur lambuk kepada penumpang KTM serta penduduk setempat. Pada sebelah malam, pasukan Hijrah Prihatin akan turut berbuka puasa bersama jemaah masjid, menghidupkan tradisi Ramadan yang penuh dengan nilai kebersamaan dan kasih sayang.
Inisiatif ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk MYTV, sukarelawan, personaliti serta warga kerja TV AlHijrah yang berganding bahu dalam penyediaan bubur lambuk. Gotong-royong memasak bukan hanya menjadi satu tugas, tetapi simbol perpaduan yang mengukuhkan semangat kejiranan dan saling membantu.

“Kami yakin bahawa program Hijrah Prihatin Bubur Lambuk ini bukan sekadar semangkuk bubur lambuk, tetapi lambang kasih sayang kami kepada masyarakat. Kami mahu setiap lapisan masyarakat merasai keindahan berbuka puasa dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan,” tambah Muhammad Sazri.
Dengan penganjuran program ini, TV AlHijrah berharap dapat terus menjadi jambatan kebaikan dalam masyarakat sepanjang Ramadan. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Hijrah Prihatin Bubur Lambuk serta aktiviti menarik sepanjang bulan mulia ini boleh melayari laman rasmi TV AlHijrah di www.tvalhijrah.com atau mengikuti media sosial rasmi stesen tersebut.
Teruskan bersama TV AlHijrah sepanjang Ramadan ini untuk merasai nikmat berkongsi rezeki dan menyebarkan kebaikan dalam bulan yang penuh keberkatan.