April 22, 2024

KUALA LUMPUR – RTM menerusi saluran TV2 akan menyiarkan Kemuncak Pertandingan Sape’ Junior pada 13 Mei ini, pukul 9.00 malam yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee RTM Kuching, Sarawak. Turut disiarkan di aplikasi RTMKlik dan Facebook RTM Sarawak.

Seramai enam peserta bakal berentap untuk merebut gelaran Juara Pertandingan Sape’ Junior 2023. Mereka yang layak ialah, Martinus Njok Sebi, Ferderick Maldini, dan Darren Mengga anak Larry Mengga dari Kuching. Manakala satu-satunya peserta dari Sibu, Stanford Rayan Sidi turut berjaya mara ke malam kemuncak itu. Aeron Junior Ibas dan Ernest Vaneman Amut Leonard pula merupakan peserta yang layak dari Miri.

Keenam-enam peserta ini wajib mempersembahkan sebuah lagu Sape’ tradisional secara solo pada pusingan pertama tidak lebih daripada tiga minit. Seterusnya untuk pusingan kedua, peserta dikehendaki membawa lagu kontemporari yang akan diiringi oleh Kombo D’Aspriasi RTM Kuching dengan durasi maksimum lima minit.

Kehebatan serta kemahiran mereka dalam bermain alat muzik Sape itu akan dinilai oleh para juri profesional terdiri daripada pemain Sape’ dan ahli muzik profesional.

Pertandingan Sape’ Junior 2023 yang mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dengan kerjasama strategik Persatuan Anak Seni Sape’ Kuching (PUSAK) merupakan sebuah 

program terbitan RTM Sarawak untuk mengetengah bakat serta kreativiti pemain Sape’ di Bumi Kenyalang kepada masyarakat luar dan khalayak ramai di samping melahirkan bakat baharu dalam kalangan generasi muda sebagai pelapis industri muzik tempatan khususnya dalam seni muzik Sape’.

Sape’ adalah alat muzik tradisional komuniti Orang Ulu Sarawak seperti gitar yang pada tradisinya digunakan oleh suku-suku Kenyah, Kayan dan Kelabit. Dahulunya Sape’ hanya dimainkan semasa upacara perubatan di rumah panjang, namun perubahan zaman menjadikannya alat muzik yang digunakan sebagai bentuk hiburan.