Oleh: Lord Fuhrer
Saya kurang berminat dengan album lagu yang meleret-leret panjang dengan riff-riff yang berulang-ulang. Album ini jatuh dalam kategori itu. Meleret dan meleweh. Ditambah ulasan-ulasan dari media luar negara yang melabel mereka dengan muzik ala-ala shoegaze seumpama Curve, Slowdrive, My Bloody Valentine (album Loveless) tetapi dengan sulaman metal, menambahkan ‘tak lalu’ nak hadam.
Tetapi…seperti fiqh saya dalam mengulas dan menguliti sesebuah album muzik, peram dalam tempoh masa tertentu bisa membuatkan yang palat terasa enak. Cuma teknik ini kadang-kadang menjadi, sementelah kalau sesebuah album itu memang tak best, peram lama mana pun tetapi tak best lah juga. Ala kulli hal, bunyian dan muzik ini bersifat subjektif. Sesuailah ia sebahagian dari cabang seni.
Setelah beberapa lama. Saya cuba mendengar album ini kembali. Ternyata ada kilauan berlian disebalik lumpur pudar dan kusam. Album ini padu. Nikmat. Album ini menjadi kegemaran saya sepanjang masa—sesuatu yang tiada tandingannya dan kekal menakjubkan dan penuh emosi sehingga sukar sekali untuk menilainya kurang daripada markah 100%.
Elemen doom metal merupakan elemen yang memberatkan bunyi album terbaik (bagi saya) Agalloch ini. Satu lagi perkara yang menjadikan album ini “berat” adalah cara ia membina momentum muzik dengan sempurna. Sebagai contoh, apabila saya mendengar “Limbs”, lagu itu bermula dengan elemen post-metal yang berulang dengan nada bermelodik, kemudian perlahan-lahan menjadi lebih lembut sebelum mencapai puncak intensiti melalui dram, akhirnya meletus menjadi hentakan yang keras dan ganas. Memang sekali dengar trek ini, meletihkan. Sebab elemen shoegaze itulah. Tetapi keadaan meletihkan itu lenyap sebaik bermula satu-satunya lagu yang catchy dalam album ini iaitu “The Falling Snow” yang ternyata memberi kelegaan dengan petikan solo dan riff yang bermelodi dan mengujakan.
“Not Unlike The Waves” juga trek yang mengandungi segala yang kita mahukan dalam pakej sebuah lagu metal: alunan lagu yang progresif, petikan akustik, gabungan vokal bersih dan growl, serta lirik yang puitis dan mendalam maksudnya. Muziknya terdiri daripada pelbagai pengaruh dan Agalloch bereksperimentasi dengan black metal, doom metal, post-rock, post-metal, dark ambient, dan gothic. Hasilnya ialah gabungan melodik black metal yang sempurna sekali.
Sebahagian besar unsur “berat” juga datang daripada hasil bunyi yang sangat terperinci dan bersih. Ini menjadikan bunyi album jelas dan cukup kuat untuk kita mendengar setiap elemen dalam lagu. Bagi sebuah album black metal (secara umumnya), hasil bunyi seperti ini agak luar biasa, dan itulah yang dicari.
Dari segi penulisan lirik, ia tidak perlu terlalu berirama atau berbentuk puisi; yang diperlukan hanyalah konsep yang ditulis dengan baik untuk menyampaikan emosi kepada pendengar. Sebagai contoh, lagu seperti “Our Fortress Is Burning… II – Bloodbirds” memberikan pandangan pesimistik dan realistik tentang kemanusiaan. Banyak liriknya bersifat mencabar pemikiran dan tidak pernah lari daripada tema utama kumpulan ini seperti kebatinan (bersatu dengan alam semula jadi) dan tema-teman psikologi seperti kemurungan.
Selain itu, saya ingin menyatakan bahawa John Haughm adalah vokalis yang sangat berbakat tetapi kurang dihargai. Beliau mampu melakukan vokal bersih dan ekstrem dengan sangat baik dalam album ini. Banyak juga bahagian-bahagian heavy dalam lagu-lagu terasa penuh beremosi, seolah-olah dia sedang menanggung kesakitan, luka psikologi yang lama terpendam. Malah, vokal bersihnya juga menyentuh perasaan, terutama dalam lagu “Fire Above, Ice Below”.
Ini adalah album yang saya rasa sangat terikat secara emosi, dan ia merupakan antara album yang cukup memberi kesan yang mendalam terhadap saya sebagai pendengar dan penaakul muzik. Ini bukan sahaja album metal kegemaran sepanjang masa, bahkan tidak keterlaluan ia sepatutnya sebuah album kegemaran sepanjang zaman. Ia mempunyai segala yang kita cari dalam pakej sebuah album metal yang avant-garde, dan rasanya agak sukar atau mungkin tak banyak kugiran yang mampu mencapai tahap persembahan kreativiti seumpama album ini.