Oleh: Lord Fuhrer
Saya kira sudah terlambat untuk mengulas album ini. Tapi rasanya nikmat yang terdapat dalam album ini tidak sepatutnya berlalu begitu sahaja. Paling tidak para peminat muzik tempatan mengetahui kewujudan album ranum Arctic Monkeys ini.
Jika diminta untuk mengenal pasti kumpulan rock terbaik dalam 20 tahun terakhir, Arctic Monkeys pastinya antara yang akan disebut. Sejak keluarnya album sulung mereka, Whatever People Say I Am, That’s What I’m Not, kumpulan rock dari Sheffield, England ini telah menjadi salah satu kumpulan paling popular di UK, sering mengadakan persembahan yang selalunya sold out dan menjadi headline dalam banyak festival muzik utama walaupun baru hampir dua dekad dalam kerjaya mereka.
Namun, walaupun sering dipuji pengkritik, karya terbaru dari mereka The Car yang telah diterbitkan pada tahun 2022 telah mendapat reaksi yang bercampur baur. Ada yang berpendapat bahawa album ini adalah antara yang terbaik, sebanding dengan karya popular mereka yang lain, ada pula yang berpendapat sebaliknya.
Seperti album sebelumnya, Tranquility Base Hotel & Casino (2018), The Car memperlihatkan perubahan besar dalam gaya muzik mereka. Mereka telah meninggalkan akar indie rock dengan gitar dan dram yang bertenaga, beralih kepada bunyi yang lebih perlahan, berinspirasikan jazz dan lounge rock. Perubahan drastik ini mungkin mengecewakan peminat lama, namun ia adalah satu perkara yang normal yang mana ia mencerminkan evolusi semula jadi bagi seorang artis yang jujur dan ikhlas dalam berkarya.
Alex Turner dan komradnya bukan lagi anak-anak muda seperti awal kemunculan mereka dahulu; menulis lagu tentang hal-hal seperti kelab malam umpamanya, tidak lagi relevan buat mereka.
Dimulakan dengan lagu yang penuh atmosferik, There’d Better Be A Mirrorball, di mana lantunan suara lembut Alex Turner mengisahkan tentang sebuah perpisahan yang tidak diingini tetapi tetap mau diulang kenang dengan keindahan yang sama seperti saat hubungan itu bermula. Dengan alunan strings yang lembut dan piano yang menyentak kalbu, lagu ini terasa seperti tema filem James Bond yang tidak pernah dirilis, berbeza jauh daripada karya tipikal Arctic Monkeys.
Suara yang lebih epik dan sinematik yang menyegarkan ini juga hadir dalam lagu seperti Hello You, Perfect Sense, dan lagu judul album, The Car yang mewah dengan dilatari kumpulan orkestra besar yang menambah perisa melankoliknya album ini disamping petikan-petikan gitar yang kasar sekali-sekala tetapi punya signifikan yang integral.
Lagu Body Paint pula mengingatkan pendengar kepada album-album awal mereka. Meskipun ia bermula sebagai balada piano yang perlahan, separuh kedua lagu ini kembali menampilkan petikan gitar yang menjadi trademark Arctic Monkeys, mengingatkan kepada bunyi klasik mereka.
Namun begitu, The Car menyerlahkan keberanian Arctic Monkeys untuk bereksperimen dengan pelbagai genre. Contohnya, lagu Mr Schwartz menampilkan pendekatan minimalis dengan petikan gitar akustik yang lembut, memberikan suasana santai manakala lagu I Ain’t Quite Where I Think I Am dan Jet Skis On The Moat pula beralih kepada gaya yang berinspirasikan funk mengingatkan kepada lagu klasik Stevie Wonder, Higher Ground. Album ini seolah-olah mengajak kita untuk bernostalgia sesuai dengan lirik melankolik dan alunan orkestra ala tema filem James Bond terbitan sekitar tahun-tahun 70an.
Eksperimen ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada muzik mereka, tetapi juga menonjolkan keupayaan mereka untuk kekal relevan sambil tetap kekal dengan akar muzik mereka.
Secara keseluruhannya, The Car adalah satu transisi yang lebih besar berbanding album Tranquility Base Hotel & Casino. Walaupun bukan sebuah album berkonsep, penampilan album kali ini lebih tersusun dan kemas. Tidak seperti pendahulunya yang sering melompat-lompat antara pelbagai genre tak ketahuan, The Car memanfaatkan bunyi dan instrumentasi yang lebih konsisten untuk menghasilkan pengalaman mendengar yang lebih memuaskan.
Meskipun album ini tidak mempunyai riff gitar yang melekat seperti Favourite Worst Nightmare, lirik mendalam seperti Suck It And See, atau produksi groovy seperti album AM, The Car tetap sebuah karya yang bisa menancap pendengaran dan taakul yang tinggi dari pendengar yang teliti dan cerewet berkenaan sound sebuah album mewah dengan orkestra melankolik seperti ini. Walaupun beberapa peminat kecewa dengan perubahan gaya muzik mereka, Arctic Monkeys terus membuktikan bahawa mereka merupakan salah satu kumpulan rock paling inovatif dan berani untuk meneroka arah yang baru walaupun berisiko untuk mengecewakan peminat bahkan mungkin juga hilang ‘peminat deposit’ mereka yang bertahun-tahun menyokong kerjaya muzik mereka.
Jika anda pernah merasa tidak menyukai album ini pada pendengaran pertama, berikanlah peluang kedua. Bagi saya secara jujur, saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyukai album ini barangkali saya sudah terbiasa dengan kugiran-kugiran seumpama ini yang memilih corak muzik mellow seusai mereka melepasi fasa keremajaan mereka. Disebalik perubahan gaya yang mendadak ini semua, jika anda bersabar, anda akan menemui banyak perkara untuk dihargai melalui album ini.