November 17, 2024

Oleh: Lord Fuhrer

Selepas 24 tahun sejak kemunculan filem Gladiator, pengarah prolifik Ridley Scott kembali dengan sekuel yang menampilkan pelbagai babak epik, lakonan-lakonan mantap dan hebat, dan visual yang menarik. Namun, yang agak mengejutkan adalah unsur-unsur lucu yang terdapat dalam filem ini. Dengan humor sinis seperti dalam filem Napoleon, Scott membawakan sisi pelik dan tak masuk dek akal tradisi Rom kuno, termasuk dua maharaja kembar yang dibesarkan oleh serigala, sementara Denzel Washington sendiri yang memainkan watak licik yang ingin meruntuhkan empayar itu.

Filem Gladiator II ini mengikut struktur yang cukup mirip dengan filem asal – watak utama, Lucius (Paul Mescal), seorang pahlawan yang tinggal bersama isterinya di Numidia, diserang oleh tentera Rom yang menyebabkan isterinya terbunuh. Lucius kemudian ditawan dan dia menyimpan dendam terhadap Jeneral Acaceus (lakonan Pedro Pascal), seorang pemimpin Rom yang dikagumi oleh maharaja kembar Caracalla (Fred Hechinger) dan Geta (Joseph Quinn). Lucius dipujuk oleh Macrinus (Denzel Washington), yang berjanji akan menyerahkan kepala Acadeus kepadanya jika Lucius sanggup bertarung untuknya.

Macrinus, bagaimanapun, hanya menggunakan Lucius sebagai alat untuk mengalihkan perhatian. Washington memainkan watak ini dengan sempurna, menyeimbangkan antara ancaman dan kelucuan yang membawa kepada suasana yang sarkastik. Malah, Macrinus adalah antara watak yang lebih mendalam karakternya dan memberinya lebih banyak ruang untuk menonjol.

Filem ini bagaimanapun hilang keseimbangan penceritaannya apabila cuba meniru gaya serius filem asal. Dalam trailer, didedahkan bahawa Lucius ialah anak Maximus, tetapi tidak jelas sama ada Lucius sendiri mengetahui perkara ini. Tanpa pengetahuan ini, kesudahnya watak Lucius terasa kurang mendalam, terutamanya kerana watak ini tidak diberikan banyak ruang selain daripada bertarung. Walaupun babak-babak pertarungan sangat mengagumkan, ini sedikit mengecewakan kerana tidak memberi banyak peluang kepada watak Paul Mescal dan Pedro Pascal untuk menunjukkan lebih banyak variasi dimensi.

Namun, Gladiator II benar-benar memukau apabila memberikan sesuatu yang tidak dijangka, terutamanya apabila watak-watak seperti Macrinus dan maharaja kembar berada di skrin. Walaupun bukan filem yang baik dari segi keseimbangan keseluruhan wataknya, ia tetap sangat menghiburkan. Scott masih mampu mengendalikan filem bajet besar ini dengan kemahiran yang cukup baik, memasukkan elemen-elemen moden ke dalam gambaran visual zaman lampau.

Gladiator II sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.