Ulasan: Opeth ‘The Last Will and Testament’

Oleh: Lord Fuhrer

Kita tidak perlukan banyak pengenalan untuk sebuah kumpulan gitar rancak (kugiran) seperti Opeth yang terkenal dengan genre metal progresif. Dalam kerjaya lebih 30 tahun dan 13 album studio, mereka telah menunjukkan usaha yang berterusan untuk berkembang dengan membawa pelbagai pengaruh muzik yang berbeza. Bermula dari death metal ke rock progresif, muzik folk Eropah hinggalah ke jazz, perjalanan muzik mereka sentiasa menarik, walaupun mempunyai latar rias album yang sentiasa berbeza-beza. Setelah hampir 5 tahun tidak menghasilkan apa-apa album baharu (In Cauda Venenum rilis pada tahun 2019) album The Last Will and Testament adalah satu lagi album luar biasa dalam kerjaya mereka yang penuh dengan pelbagai rekod hebat. Album ini menjadi tanda beberapa perkara yang agak signifikan iaitu ia merupakan album studio terbaru yang lama dinantikan selepas hampir lima tahun; kemunculan pertama Waltteri Väyrynen sebagai pemain dram; kembalinya vokal growl (selepas 16 tahun Mikael Akerfeldt menafikannya!); dan album konsep pertama sejak album Still Life yang muncul pada tahun 1999.

Walaupun mempunyai banyak ‘wow’ faktor yang terdapat dalam album ini yang bisa terangkat kening dibuatnya, The Last Will and Testament terasa seperti sebuah kesinambungan dari album sebelumnya iaitu In Cauda Venenum cuma dengan sentuhan gaya dari album-album lama Opeth. Yang paling jelas ialah seperti style dari album Ghost Reveries dan Watershed. Dalam trek “§2,” misalnya, melodi gitar dan papan kekunci yang bertenaga bercampur dengan narasi bercakap dan getaran suara halus di latar belakang, mengingatkan era metal progresif Opeth dengan pengaruh death metal. Elemen penting lain dalam album ini ialah gaya komposisi rumit yang popular dalam In Cauda Venenum, tetapi kali ini lebih lancar dan bebas. Di “§4,” misalnya, bahagian lembut seruling dicantumkan dengan petikan gitar berat melalui teknik crescendo dram yang halus, menghasilkan alunan yang menyatu dengan unik.

Konsep album inilah yang menghidupkan kisah dan struktur muziknya. The Last Will and Testament mengisahkan proses pembahagian harta wasiat seorang lelaki kaya dengan pelbagai watak – termasuk peguam licik (lakonan suara oleh Ian Anderson dari Jethro Tull) dan patriark yang dominan (dengan suara garau dilakonkan oleh Mikael Åkerfeldt sendiri). Kisah keluarga yang penuh dramatik ini merangkumi pertelingkahan, dendam, dan pewaris rahsia, yang akhirnya melancur dalam trek “§7” apabila Anderson membacakan wasiat kepada pewaris yang tak disangka-sangka. Trek terakhir, “A Story Never Told,” membawa perubahan tona dengan melodi piano yang sederhana indah, memberikan sebuah penutup yang damai selepas sebuah kisah penceritaan yang penuh emosi ini.

Yang paling menonjol dalam The Last Will and Testament ialah keunggulan karya ini sendiri. Opeth telah mencipta muzik yang unik, menggabungkan death metal dan rock progresif dengan sempurna, dari pebagai komposisi yang kompleks hingga penghasilan yang kemas. Album ini lebih harmoni dan halus berbanding In Cauda Venenum, dengan unsur seperti vokal jazz, gitar blues, dan melodi-melodi yang mudah kata ‘berani mati’. Misalnya, “§5” memaparkan variasi muzik dengan peralihan halus antara jazz dan death metal, disertai produksi yang clean yang memastikan setiap melodi dan lapisan bunyi didengari dengan jelas. Lagu penutup “A Story Never Told” juga merupakan salah satu lagu terbaik album ini, yang menggabungkan bunyian piano halus dengan solo gitar yang begitu grand dan megah.

Secara keseluruhan, The Last Will and Testament adalah album yang kukuh dan hampir-hampir tiada kelemahan. Dengan kepelbagaian trek yang berfokus dan durasi yang lebih ringkas dan pendek (tidak seperti album-album mereka sebelum-sebelum ini yang melata panjangnya), Opeth sekali lagi menghasilkan karya yang mantap dari segi idea, persembahan, dan produksi. Bagi peminat setia mereka, album ini adalah pengalaman yang pastinya akan memberikan kepuasan maksima dan mungkin juga akan menarik semula para peminat lama Opeth yang mungkin telah meninggalkan mereka sejak terbitnya album Heritage lagi.

Pada tahun 2024 ini yang bakal melabuhkan tirainya sebulan lebih lagi, Opeth menghidangkan kita dengan sebuah lagi buah tangan mereka dengan keseimbangan baru dalam bunyian mereka yang pastinya tidak boleh dilepaskan oleh para peminat keras muzik progresif! Selamanya Opeth!