KUALA LUMPUR – Terpaksa melalui jalan yang tidak diturap dengan selut dan lumpur, tanah runtuh, pokok tumbang dan ancaman haiwan liar antara cabaran yang diterima guru yang bertugas di daerah pendalaman. Hakikatnya sebuah pengorbanan yang besar terpikul di bahu golongan pendidik. Sebagai guru, kedudukan sekolah yang jauh di pedalaman dan perjalanan ulang alik yang jauh lagi sukar tidak mematahkan semangat mereka. Alah bisa tegal biasa.
Setiap individu bergelar guru ingin memastikan anak bangsa termasuk murid Orang Asli mendapat pendidikan seimbang berdasarkan keperluan semasa. Apatahlagi bertugas di Sekolah Orang Asli dan terletak jauh di pedalaman banyak mengajar pelbagai erti kehidupan.
Dedikasi pengorbanan seorang guru dalam mendidik murid sekolah Orang Asli menemui penonton RTM dalam sebuah telemovie khas sempena hari guru bertajuk “Yek Icin Mahak” pada 27 Mei ini, pukul 9.00 malam di TV1.
Menampilkan Ummi Nazeera sebagai pelakon utama membawakan watak Cikgu Aisyah dalam drama mengisi slot Panggung RTM ini, ia turut dibintangi pelakon terkenal Jay Iswazir, Hasnul Rahmat, Farah Ahmad, Zalfa Zin, Syed Irfan, Hadi Putra, dan Fauziah Nawi.
Kisahnya bermula dengan Cikgu Aisyah yang baru menerima surat penempatan ditugaskan mengajar di sekolah perkampungan Orang Asli di Kelantan.
Meskipun pada mulanya agak terkejut dan memikirkan banyak perkara untuk menerima tawaran itu namun sebagai pendidik dia akhirnya nekad menyahut cabaran tersebut. Baktinya diperlukan di sekolah itu dan dia rasa bertanggungjawab melaksanakannya.
Cikgu Aisyah mencuba pelbagai cara untuk menarik perhatian anak-anak muridnya ke sekolah. Dia bersyukur kerana menerima bantuan bantuan daripada salah seorang guru sekolah sama iaitu Cikgu Nazim.
Sementara itu, salah seorang anak muridnya, Udin sudah lama tidak hadir ke sekolah. Menurut rakan-rakannya Udin tidak bersekolah kerana menjaga emaknya yang sakit meroyan.
Cikgu Aisyah cuba untuk memujuknya kembali bersekolah. Namun Udin berada dalam dilema. Sebagai anak dia bertanggungjawab mahu menjaga ibunya di rumah manakala sebagai seorang murid memerlukan dia hadir ke sekolah menuntut ilmu. Lalu berjayakah usaha Cikgu Aisyah membawa Udin kembali ke sekolah? Bagaimana pula mereka menyelesaikan masalah meroyan yang dihadapi ibu Udin? Ikuti kesudahannya di TV1. Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my).