KUALA LUMPUR – Unifi TV bakal melancarkan drama bersiri original terbaharunya, Din Tiger, sebuah karya dramatik thriller yang mengangkat isu jenayah ‘scam’ yang semakin berleluasa di Malaysia. Drama arahan Dato’ Afdlin Shauki ini akan mula bersiaran pada 6 Januari 2025, setiap Isnin jam 11 malam, secara eksklusif di Degup HD, Saluran 120, Unifi TV.
Drama ini diterbitkan oleh KL Post Sdn Bhd dan menampilkan gandingan mantap Dato’ Aaron Aziz dan Dato’ Afdlin Shauki buat pertama kalinya. Ia turut dibintangi oleh pelakon-pelakon berbakat seperti Josiah Hogan, Tony Eusoff, Datin Sri Nina Juren, Mia Sara Shauki, dan Adam Corrie Lee.
Sinopsis Din Tiger
Din Tiger mengisahkan Din Tiger (lakonan Dato’ Aaron Aziz), seorang bekas ‘scammer’ yang berazam meninggalkan dunia jenayah demi kehidupan baharu bersama isteri dan anaknya. Namun, percubaannya untuk menjalani kehidupan biasa sebagai pemilik kedai gajet terganggu apabila dia terjerat dalam sebuah kes berat dan berdepan ancaman daripada Boss Mario atau Tan Sri Aliff (lakonan Dato’ Afdlin Shauki), yang tidak membenarkan Din pergi begitu sahaja.
Mengangkat tema jenayah penipuan, drama 8 episod ini memperlihatkan bagaimana kegiatan ‘scam’ dirancang dengan rapi untuk memperdaya mangsa dari pelbagai latar belakang.
Idea dan Dokongan Pakar
Menurut Pengerusi KL Post Sdn Bhd, Dato’ Afdlin Shauki, yang juga pengarah dan pencipta drama ini, idea penceritaan diilhamkan daripada pengalaman peribadi serta kisah benar mangsa jenayah penipuan.
“Saya mahu memaparkan perspektif yang lebih mendalam tentang dunia jenayah ini daripada sudut pandang pelakunya. Ini penting untuk mendidik masyarakat mengenai modus operandi mereka yang begitu licik dan teratur. Saya juga mendapat bantuan daripada bekas pegawai polis, Tuan Rahmat Fitri Abdullah dan Tuan Kamal Affandi Hashim, yang berkongsi pengalaman mereka tentang jenayah komersial,” kata Afdlin.
Gandingan Mantap Dua Ikon Industri
Dato’ Afdlin Shauki turut menyatakan keterujaannya untuk bergandingan dengan Dato’ Aaron Aziz buat kali pertama.
“Sepanjang kerjaya saya, saya tidak pernah berpeluang bekerja dengan Aaron Aziz. Mendengar banyak cerita positif tentang profesionalismenya, saya sendiri menjadi peminatnya. Saya rasa ini adalah masa yang tepat untuk kami bekerjasama,” tambahnya.
Degup HD, Saluran 120: Platform Eksklusif
Degup HD, Saluran 120, adalah salah satu saluran eksklusif di Unifi TV yang memfokuskan pada kandungan bergenre aksi dan seram, termasuk drama bersiri tempatan dan filem antarabangsa. Saluran ini boleh diakses secara percuma oleh semua pelanggan Unifi TV melalui Unifi TV Box atau aplikasi Unifi TV.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Din Tiger bermula 6 Januari 2025, setiap Isnin jam 11 malam, hanya di Degup HD, Saluran 120. Penonton juga boleh menonton secara strim percuma melalui aplikasi Unifi TV atau menikmati episod ulang tonton melalui ciri “Catch Up.”