KUALA LUMPUR – Universal Music Greater China (UMGC), salah satu cawangan Universal Music Group (UMG), peneraju global dalam hiburan berasaskan muzik, telah mengumumkan kerjasama strategik baharu dengan Jay Chou, “Raja Mandopop” yang terkenal di peringkat antarabangsa berserta syarikat rakamannya JVR Music, semalam.
Perjanjian penting ini menjamin hak pemasaran dan pengedaran global untuk katalog muzik Jay Chou yang luas serta projek masa hadapan, selain menyokong bakat di bawah label JVR yang semakin meningkat, termasuk Patrick Brasca dan Young (Cao Yang). Penyertaan penyandang Jualan Album Global IFPI 2022, Jay Chou, ke dalam senarai artis UMG menzahirkan komitmen syarikat untuk memartabatkan muzik Mandopop di pentas antarabangsa.
Timothy Xu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Greater China (UMGC), berkata, “Dengan rasa bangga dan teruja kami mengalu-alukan Jay Chou, ikon zaman kini, ke dalam keluarga Universal Music. Kerjasama ini bukan sahaja satu pencapaian penting bagi kami; malah ia juga meraikan bakat seni dan daya tarikan global Jay yang luar biasa. Kami amat berbesar hati kerana diamanahkan dengan warisan muziknya dan tidak sabar untuk menonjolkan bakat beliau yang luar biasa ke seantero dunia”
Jay Chou, yang diberi gelaran sebagai “Raja Mandopop”, merupakan tokoh fenomenal di persada muzik Mandarin sejak penampilan pertamanya pada tahun 2000 dengan “JAY.” Kerjayanya yang cemerlang merangkumi 15 album studio, setiap satu menyumbang kepada legasinya. Karya Jay Chou pada tahun 2022, “Greatest Works of Art”, menandakan detik bersejarah apabila menjadikan beliau bukan sahaja artis Mandarin pertama yang berjaya menembusi senarai 10 teratas Carta Artis Global IFPI, malah artis Mandarin pertama yang berjaya mengungguli Carta Jualan Album Global.
Diasaskan pada tahun 2007 oleh Jay Chou, Vincent Fang, dan JR Yang, JVR Music adalah sebuah label dan agensi pengurusan artis yang berjaya dan amat disegani. JR Yang, Ketua Pegawai Eksekutif JVR Music, berkata, “Penjajaran bersama UMG dalam kerjasama strategik ini, menandakan lembaran baharu untuk Jay dan JVR ke arah visi kami untuk memartabatkan muzik pop Mandarin di peringkat dunia. Dengan memanfaatkan rangkaian global UMG yang luas membolehkan kami memperkasakan impak artistik Jay dan kepelbagaian senarai artis kami pada skala global. Kami teruja untuk memanfaatkan pakatan ini untuk melangkaui sempadan budaya serta mengukuhkan kehadiran antarabangsa warisan muzik kami yang unik.”
Adam Granite, Naib Presiden Eksekutif, Pembangunan Pasaran Universal Music Group turut berkata, “Kami mengalu-alukan Jay Chou dan JVR ke dalam Universal Music Group dan ini adalah kejayaan strategik dan kemenangan dari sudut budaya. Kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk memupuk bakat yang pelbagai dan memperkenalkan mereka kepada peminat dan pendengar muzik di seluruh dunia. Bakat seni Jay yang luar biasa dan kehebatan kreatif JVR sejajar dengan misi kami untuk memperkayakan landskap muzik global.”
Selain kerjayanya sebagai artis persembahan, Jay Chou juga disanjungi sebagai penulis lagu. Beliau telah menggubah dan menghasilkan semua lagunya, kebanyakannya dengan kerjasama penulis lirik tersohor Vincent Fang. Sejak 2013, Universal Music Publishing Group (UMPG), anak syarikat penerbitan terkemuka di bawah Universal Music Group, telah menjadi penerbit global untuk Jay Chou dan JVR, serta menguruskan keseluruhan katalog lagu mereka. Perjanjian strategik global yang diperluaskan bersama UMGC menandakan era baharu peranan UMG sebagai rakan kongsi global holistik untuk Jay Chou dan JVR.