KUALA LUMPUR – Penyanyi kumpulan Wings Dato’ Awie membuat teguran kepada individu mahupun mana-mana pihak yang ingin menubuhkan sesebuah kumpulan muzik agar tidak menggunakan nama band yang sedia ada atau yang masih lagi bergerak aktif dalam industri hiburan. Beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai suatu yang tidak sihat untuk industri dan ianya umpama menumpang nama band yang sudah dikenali ramai.
Awie berkata demikian ketika diajukan persoalan mengenai isu salah guna nama dan lagu kumpulan heavy metal tersohor negara XPDC oleh sebuah band muzik kontroversi yang sedang hangat diperkatakan. Selain menggunakan nama yang sama mereka juga turut mengadakan persembahan di pelbagai acara dengan mendendangkan lagu-lagu milik XPDC tanpa sebarang kawalan.
Mengulas lanjut berkenaan isu tersebut, bagaimanapun Awie terlebih dahulu memohon maaf kerana beliau tidak seharusnya mencampuri urusan dalaman band orang lain. Menurutnya, perbalahan ini dapat ditamatkan jika band yang baharu ditubuhkan itu menukar nama lain selain menggunakan nama XPDC.
“Untuk apa perlu berebut? Kita ada huruf A sampai Z, engkau pakailah macam-macam huruf yang masih ada, kenapa perlu rebut benda yang sama?
“Industri kita ni tenat sebenarnya, kita nampak je macam meriah tapi bila dah masuk artis-artis luar ni, penyokong kita dah mula pergi untuk sokong artis luar, datang pula orang-orang yang macam ini sengaja cuba nak menghancurkan industri yang telah tenat ni, untuk apa semua ni? “ Ujar Awie ketika ditemui media semasa sesi latihan untuk konsert Wings The Rock Emperor Penang Chapter, di studio miliknya, di sini.
Dalam pada itu, Awie turut menasihatkan kepada pengurus band muzik tersebut agar membentuk sebuah band baharu mengikut kapasiti, pengalaman dan kebolehan yang dia ada sebelum ini dan buktikan band tersebut lebih bagus daripada terus-menerus menumpang atau menggunakan nama serta mendendangkan lagu-lagu dari kumpulan XPDC.
“Buatlah band baharu dengan nama yang baharu yang lebih solid, jadikan band itu betul-betul. Jangan tumpang nama band yang ada lepas tu sibuk nak claim, kononnya pengasaslah, kononnya apalah…janganlah!
“Nampak benda ni macam budak-budak, nampak seperti nak merosakkan. Kedua-dua band ni (XPDC) dah lama cari makan, yang tengah fight untuk bekerja dan sehingga sekarang mereka masih lagi bekerja, engkau datang kacau bawa satu lagi band dengan nama dan nyanyi lagu yang sama, tak best lah!
“Ikutkan saya tak layak untuk mencampuri urusan band-band lain sebab saya sendiri pun ada band, tapi saya nasihatkan mengucaplah, tenang, buatlah apa yang patut…tukar nama band, carilah nama lain.” Katanya lagi.
Terdahulu, Bro Yazid pengurus XPDC Kita Peng Yu dan Ali yang mewakili XPDC Militia mempersoalkan penggunaan nama XPDC oleh sebuah kumpulan lain tanpa kebenaran Life Records sehingga mengganggu periuk nasi mereka.
Sementara itu, bercerita mengenai Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter yang bakal berlangsung pada 24 Februari ini, Dato’ Awie berkata, mereka akan mengetengahkan satu konsep baharu iaitu Tonton, Gores & Menang kepada penonton.
“Untuk setiap tiket, kita akan buat satu Gores dan dalam Gores itu ada hadiah-hadiah tertentu yang akan dimenangi oleh penonton bertuah.
“Terdapat lebih 700 barangan akan diberikan kepada pembeli tiket Konsert Rock Emperor. Ia merangkumi semua pembeli dari tiket berharga RM95 sehingga lebih RM300.
“Barangan untuk dimenangi itu termasuk prelove barangan Wings terpakai yang akan kita hadiahkan kepada pemenang-pemenang,” katanya.
Tiket untuk menonton boleh didapati di https://wings.ubertickets.asia.