USTAZ 3 BERADIK BAWA KELAINAN DALAM SINGLE ‘JEMARI LIMA’

KUALA LUMPUR, 7 JUN 2021 – Abstrak Hiburan berbentuk muzik dan nyanyian adalah sinonim dengan gaya hidup masyarakat kontemporari pada masa kini. Menyedari kecenderungan masyarakat pada hari ini yang gemar kepada hiburan, maka ia perlu dipandu dengan pengisian yang betul dan tepat dalam mengharungi arus hedonisme yang terus berleluasa.

Nasyid dilihat sebagai hiburan alternatif kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat di dalam menghayati seni muzik dan nyanyian yang bersesuaian dengan landasan syarak.

Bertitik tolak daripada itu, 3 orang pendakwah adik-beradik iaitu Ustaz Zarifi, Ustaz Hariri dan Ustaz Ihsan mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan nasyid yang diberi nama USTAZ 3 BERADIK sejak beberapa tahun yang lalu dengan menghasilkan beberapa single berbentuk nasihat dan kekeluargaan.

Ustaz Hariri, Ustaz Zarifi, dan Ustaz Ihsan

Untuk tahun 2021, single terbaru mereka yang berjudul ‘Jemari Lima’ menjadi penanda aras bahawa lagu nasyid yang mereka bawa ini masih lagi relevan dan mempunyai peminatnya sendiri.

“Kami mula merakam lagu ‘Jemari Lima’ ini pada awal tahun 2021. Ini adalah projek terbaharu kami Ustaz 3 Beradik untuk tahun ini. selepas dua buah lagu sebelum ini, lagu “Terakhir” pada tahun 2019, bertemakan kasih ibu dan kemudian pada tahun 2020, kami keluarkan lagu ‘Si Bujur Sireh’ bertemakan kasih kepada anak OKU. Jadi kami bertiga berfikir ada baiknya lagu ketiga ini ditonjolkan mesej kasih sesama adik beradik.” Ujar Ustaz Zarifi yang merupakan abang sulung.

“Metafora lagu ini adalah jari-jemari kita. Dalam adik beradik kita mesti saling lengkap melengkapi. Tampung menampung. Yang ada rezeki lebih, bantulah adik-beradik yang dalam kesempitan. Dalam adik-beradik jangan ada rasa bongkak, rasa iri hati, rasa dengki. Jangan ada semua itu. Kita semua mesti bersatu. Kena pertahankan keutuhan keluarga sampai bila-bila. Kerana bila kita berada dalam kesusahan, keluargalah segala-galanya bagi kita.” Jelas beliau berkenaan judul lagu tersebut.

Ustaz 3 Beradik mencari kelainan dari aspek melodi dan lirik, Berbeza dengan dua lagu mereka terdahulu. ‘Jemari Lima’ berentak catchy dan tidak ada lagi melodi mendayu dan sedih sepertimana lagu-lagu mereka sebelum ini. Mereka bersetuju dengan cadangan Azalinor Abdul Rahman (Saujana) selaku komposer yang mencorakkan lagu ini lebih catchy dan easy-listening.

Single Jemari Lima telah dilancarkan di saluran YouTube Ustaz 3 Beradik

“Azalinor seorang komposer muda berbakat yang kaya dengan pengetahuan melodi. Keberanian beliau membuatkan lagu ini terhasil. Semasa rakaman lagu ini di Novarts Studio, kami amat bertuah kerana Azalinor dan Ustaz Azahari Abdul Rahman (Nowseeheart) turut memberikan bimbingan kepada kami.” Katanya.  

Sibuk dengan kerjaya masing-masing, Ustaz 3 Beradik akan terus mengetengahkan lagu-lagu bertemakan kekeluargaan yang menjadi asas pada mereka dan menjadikan nasyid sebagai satu cabang dakwah yang boleh dimanfaatkan. Mereka juga berasa teruja apabila melihat lagenda nasyid seperti Munif Hijjaz, Isman Nadim Hijjaz, dan kumpulan Saujana tampil dengan lagu-lagu baharu. Ini termasuk pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias yang telah menghasilkan lagu-lagu dakwah. 

Dalam situasi pandemik Covid19 yang melanda dunia ketika ini, perancangan untuk menghasilkan video muzik ‘Jemari Lima’ tergendala dan berharap apabila keadaan kembali reda mereka akan meneruskan penggambaran video muzik ini.

“Video lirik rasmi telah dilancarkan di saluran YouTube Ustaz 3 Beradik, saya berharap agar lagu ini diterima ramai dan semoga usaha kecil kami ini akan membawa kita semua untuk menghargai keluarga kita. Tidak kira siapa kita sekarang, kita mesti bersyukur dengan nikmat berkeluarga.” Ujar Ustaz Zarifi mengakhiri bicara dalam talian bersama KelkatuTV.

Jemari Lima – Ustaz 3 Beradik (Video Lirik Rasmi)