September 8, 2024

KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid yang dibarisi oleh 3 orang adik beradik terus mengorak langkah dalam usaha dakwah melalui muzik yang semakin diterima ramai. Ini terbukti apabila mereka menghasilkan single terbaharu bersempena bulan Ramadan yang akan menjelma tidak lama lagi.

Menggelarkan diri mereka dengan nama Ustaz 3 Beradik dibarisi asatizah hebat yang sudah dikenali sebagai pendakwah kerana seringkali diundang ke program-program agama di stesen televisyen mahupun di stesen-stesen radio tempatan, Ustaz Zarifi, Ustaz Hariri dan Ustaz Ihsan, kini meneruskan momentum mereka selaku Pemenang Kategori Persembahan Terbaik dan Lirik Terbaik Carta Nasyid 114 TV Alhijrah dengan menghasilkan karya single terbaharu berjudul Entahkan Ramadan Terakhir Kali. Single tersebut telahpun dirilis seminggu sebelum umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia.

Entahkan Ramadan Terakhir Kali mendapat sentuhan terbaik hasil komposer muda, Saudara Imtiaz (anggota Kumpulan Simfoni) dan lirik telah ditulis sendiri oleh Ustaz Hariri. Lagu ini telahpun berada di platform Youtube Ustaz3Beradik dan mendapat sambutan yang sangat memberansangkan daripada warga maya sehari selepas mereka memuat naik video muzik tersebut. 

Lagu Entahkan Ramadan Terakhir Kali mendapat komen-komen positif daripada netizen. Antara komen-komen yang dipetik adalah seperti,:

“Ini adalah lagu Ramadan yang baik. Melodinya tipikal nasyid pop yang sedap, tidak jemu didengar. Liriknya sangat baik dan dekat dengan diri kita.” – Penulis lirik prolifik Ito Lara

“Best, lagu sedap didengar “ – Hanan Rahman.

“Terima kasih Ustaz. Lirik dan lagu yang menyentuh jiwa” – Penasyid lagenda Ustaz Amal.

 “Alhamdulillah, Terbaik, menusuk kalbu,” – Masnahmena.

“Subhanallah. Tahniah Ustaz 3 Beradik.” – Rafidah Endong.

Menurut Ustaz Zarifi yang merupakan abang paling sulung dalam kumpulan Ustaz 3 Beradik ini, beliau menitipkan penghargaan buat komposer lagu ini kerana beliau percaya dengan kesungguhan dan bakatnya dalam penghasilan lagu-lagu dakwah yang mampu menarik pendengar untuk menikmati hasil karya-karya beliau.

“Saya sudah melihat potensi Saudara Imtiaz. Beliau orang muda, saya percaya beliau punya semangat daya juang tinggi. Ketika bertemu di Masjid Al-Mustaqim, Bandar Baru Ampang, saya mula merisik memohon beliau untuk mencipta lagu. Saya maklumkan hasrat Ustaz 3 Beradik untuk terbitkan lagu berkaitan Ramadan. Akhirnya pada Januari 2024, ketika beliau berada di Madinah selepas selesai umrah, saya muktamadkan dengan beliau.” Ujar Ustaz Zarifi.

“Saya juga ucap tahniah dan terima kasih kepada Ustaz Hariri atas lirik puitis beliau. Beliau berjaya mengolah lagu ini dengan baik sekali. Terima kasih juga kepada Saudara Wan Saleh yang bertindak menyusun muzik lagu ini. Sentuhan Wan Saleh memperlengkap lagu ini. Begitu juga sahabat kami Saudara Acap FINE yang membantu semasa proses rakaman berlangsung.

“Lagu ini tidak lain tidak bukan untuk mengajak diri saya dan kita semua untuk bersyukur atas nikmat bertamu di bulan Ramadan. Marilah kita memanfaatkan rezeki dipanjangkan usia untuk melipatgandakan amalan ibadat serta menjadikan ia sebagai kembara rohani. Mana tahu ini adalah Ramadan terakhir dalam hidup kita.” Katanya lagi.

Ustaz 3 Beradik yang disinonimkan dengan Kumpulan Nasyid Murabbi kerana latar belakang mereka sebagai pendakwah telah julung kalinya mempersembahkan lagu Entahkan Ramadan Terakhir Kali pada Majlis Pelancaran Logo dan Penjenamaan IKIMfm di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. 

“Kami Ustaz 3 Beradik ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong Ustaz3 Beradik dalam arena dakwah nasyid.” Kata Ustaz Zarifi mengakhiri bicara.  

Ustaz 3 Beradik | Entahkan Ramadan Terakhir Kali ( Official Music Video )