KUALA LUMPUR – Pentas Akhir Anugerah Carta 114 TV Alhijrah (AC114) telah melabuhkan tirai dengan jayanya. Namun naskhah indah karya Fadzli Fareast, Amy Bong dan Hazalinda Harun ini yang berkisar tentang penerimaan seorang bapa terhadap anak istimewa anugerah Allah sebagai amanah yang perlu dijaga sebaiknya telah meruntun hati para penonton AC114. Kumpulan Ustaz 3 Beradik berjaya membuatkan air mata penonton mengalir menerusi lagu Si Bujur Sireh dengan memberikan persembahan yang penuh emosi dan menyentuh jiwa sekaligus merangkul Anugerah Persembahan Terbaik selain telah mendapat Anugerah Lirik Terbaik.
Buat julung kalinya Ustaz 3 Beradik berentap di pentas pertandingan nasyid berprestij dengan menampilkan Da’ie Pekak dari Yayasan Faqeh untuk menterjemah setiap bait-bait lirik kepada Bahasa Isyarat. Menampilkan empat orang Da’ie Pekak dari Yayasan Faqeh, Negeri Sembilan yang juga merupakan graduan USIM, mereka adalah Ustaz Zaid Samat, Ustaz Nasri, Ustaz Anas dan Ustaz Zhariff. Yayasan Faqeh merupakan sebuah pusat pendidikan al-quran kepada anak-anak istimewa.
“Kami membawa Daie Pekak Yayasan Faqeh, bersama-sama Ustaz 3 Beradik di atas pentas final adalah untuk mengangkat peranan para pendidik kepada komuniti OKU. Mereka adalah pejuang dakwah yang mesti diberikan pengiktirafan oleh kita atas segala ilmu serta dedikasi mereka. Biar masyarakat dunia dapat melihat usaha ikhlas mereka semua,” ujar Ustaz Zarifi selaku abang sulung kepada Ustaz Hariri dan Ustaz Ihsan yang merupakan anggota Ustaz 3 Beradik.
“Syukur alhamdulillah, kami mendapat maklum balas yang amat positif daripada masyarakat termasuk komuniti OKU selain daripada komen-komen warga Facebook dan Youtube yang menyaksikan persembahan Ustaz 3 Beradik semasa pentas akhir ini,” katanya.
Kemunculan anak istimewa Anas Amini, 13, bersama abangnya Muadz Wajdi, 15, dalam Pentas Akhir AC114 malam tersebut amat menyentuh hati. Kebanyakan mereka yang menyaksikan persembahan tersebut tidak dapat menahan sebak dan gugurnya airmata penonton dengan dialog dua beradik ini.
Sementara itu, Ustaz Zarifi menjelaskan dakwah mereka membawa naratif baharu yang memberi gambaran bahawa nasyid bukan sekadar nyanyian dan ianya menjangkau lebih daripada itu. Lagu-lagu nasyid yang mereka sebarkan akan membawa mesej kasih sayang, ilmu serta dakwah. Beliau juga berharap perjuangan Ustaz 3 Beradik dapat memperkukuh kerangka nuansa nasyid. Beliau berharap selepas ini akan muncul lebih banyak lagi kumpulan yang menghasilkan karya nasyid berkualiti.
“Saya dan adik-adik saya adalah pendakwah yang berceramah di pentas dakwah. Ini adalah kali pertama kami menyertai pertandingan besar, saya bersyukur meskipun Ustaz 3 Beradik masih baharu dalam dunia nasyid, tetapi telah diberikan pengiktirafan sebesar ini. Terima kasih kepada para Juri dan para penonton yang memilih Ustaz 3 Beradik memenangi Persembahan Terbaik”. Ini adalah satu amanah buat kami untuk terus giat menghasilkan karya berkualiti.
“Secara peribadi kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada tim penerbitan TV Alhijrah kerana memberikan platform ini kepada pengkarya nasyid. Begitu juga kepada semua penasyid, terima kasih kerana sudi menerima keberadaan Ustaz 3 Beradik dalam industri nasyid.
Kami juga merakamkan penghargaan kepada Saudara Fadzli Fareast, Amy Bong dan Hazalinda Harun kerana telah menghasilkan karya yang memberikan impak besar kepada pembinaan insan.” Katanya.
Terdahulu, kumpulan Ustaz 3 Beradik yang dianggotai oleh 3 orang pendakwah adik-beradik ini telah berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Si Bujur Sireh. Mereka bertiga membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi. Manakala lagu Selimut Kasih dendangan Inteam dengan bait lirik oleh Fedtri Yahya dinobat sebagai juara Anugerah Carta 114 yang membawa pulang hadiah utama wang tunai RM20,000 beserta trofi.