September 10, 2024

Oleh: Zizi Hashim

Pernah berhadapan dengan penyakit misteri sejak tahun 2021, berakhir sembuh pada sekitar September 2022 setelah menjalani rawatan di Madinah, memberi inspirasi kepada syarikat produksi Mawi World Entertainment untuk mengangkat kisah benar yang dialami sendiri oleh Datuk Ustaz Kazim Elias, seorang pendakwah dan penceramah bebas yang cukup dikenali ramai. Kisah yang turut mendapat liputan meluas dari pelbagai pihak ini telah difilemkan dan bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 13 Jun 2024 nanti.

“Alhamdulillah saya puas hati, bagi saya mesej yang ingin dikongsikan itu sampai kepada penonton dalam bentuk yang santai. Ada komedi, ada seram, ada parodi dan ada juga serius untuk masyarakat menikmati dan menilai sendiri filem ini.” kata Datuk Ustaz Kazim Elias ketika ditemui pada tayangan Malam Gala filem Zim Zim Ala Kazim di GSC The Starling Mall tanggal 7 June 2024 yang lalu.

“Filem ini adalah adaptasi dari idea saya namun jalan cerita telah dirombak dan diolah panel skrip mengikut kesesuaian. Hampir 80% jalan cerita menyamai kisah hidup saya bagaimanapun tidak semua diceritakan.” Tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, episod hitam berkaitan gangguan sihir dan mistik yang dihadapinya sudah diketahui ramai dan sehubungan itu sudah tiba masanya perkara itu dikongsi sebagai pedoman dan pengajaran.

“Tolong bagi sokongan dan kepercayaan kepada saya. Target saya ialah kita buat satu filem yang baik, skrip yang bagus, pengarahan yang bagus dan hasil yang bagus. Saya sudah lama dikecam, apabila saya pegang watak utama filem ini saya sudah bersedia untuk dikecam. Biasa lah, ada pro-kontra dalam hal suka tak suka ni. Ia saya anggap cabaran dan pengorbanan besar.” Ujarnya lagi.

Bertujuan untuk mendekatkan diri dengan orang-orang seni dengan nawaitu berdakwah, Ustaz Kazim mengakui terdapat pelbagai kekurangan di sana sini pada peringkat permulaan ini. Tidak menolak sekiranya ada kerjasama lain di masa akan datang, ianya akan diperbaiki lagi supaya dapat menjadikan seni sebagai landasan untuk berdakwah dan mengajak masyarakat ke arah kebaikan. Juga turut meletakkan syarat tidak mahu ada babak bersentuhan dan wajib menjaga solat di set lokasi sepanjang penggambaran berlangsung.

“Ada satu babak dalam hutan pukul 3-4 pagi, kami solat subuh di situ di dalam hutan. Saya rasa ini sesuatu yang patut dibuat, kalau boleh setiap penggambaran filem ada surau khas untuk para pelakon dan krew solat. Jika ini dilaksanakan, semua jadi seronok berlakon. Maka istilah kata kami nak hijrah dari dunia yang tak baik ke dunia yang baik, kita memang sudah duduk di dunia yang baik. Setiap rezeki dan pendapatan yang diberi adalah halal, cuma jangan abaikan yang wajib. Industri seni kita akan menjadi lebih seronok dan selesa.” Ceritanya lagi penuh harapan.

Bercerita tentang pengalaman di santau, Ustaz Kazim berkata selama ini orang ramai hanya mendengar cerita dari mulut orang sahaja. Kesempatan untuk menonton sendiri kesakitan yang dialami, perbuatan sihir dan mistik, makan katak atau ulat, penampakan entiti halus, babak orang datang minta maaf dan sebagainya, boleh dilihat apabila perkisahan itu difilemkan. Bagaimanapun kerana bimbang tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF), kebanyakan babak telah diringankan sedikit dengan menyelitkan jenaka, disamping mengekalkan kebenarannya.

Penambahan dan olahan adalah semata-mata untuk mencantikkan jalan cerita. Ustaz Kazim menjelaskan, perbuatan sihir dan mistik ada diceritakan di dalam Al-Quran dan sudah berlaku sejak zaman nabi.

“Sihir ini wujud, jika kita tolak wujudnya sihir maka kita sudah menolak Al-Quran. Ilmu sihir termasuk dalam kategori dosa besar, ianya akan sentiasa ada, malah akan sentiasa ada orang yang mengamalkannya sehingga hari kiamat.” kata Ustaz Kazim yang mahu memberi pendedahan kesan buruk daripada perbuatan sihir disamping memupuk kesedaran untuk lebih menjaga tuturkata.

Selain Datuk Ustaz Kazim Elias dan Mawi, filem Zim Zim Ala Kazim turut menampilkan barisan pelakon seperti Bell Ngasri, Anas Tahir, Shanthes Kumar, Elvina Chua, Man Raja Lawak, Rosnah Johari, Azman Naim Mantra, Syanie, Zarina Anjoulie dan ramai lagi. Mengisahkan tentang sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal, menemukan sesuatu yang pelik dan mendapati Ustaz Kazim dalam bahaya lantas mengambil keputusan untuk menyelamatkannya. Persamaan kisah diri Mawi dengan Ustaz Kazim telah mendorong kepada penerbitan naskhah yang menggabungkan genre seram dan komedi itu.

Mawi memanjatkan rasa syukur apabila filem ini mendapat kelulusan 100% daripada LPF tanpa sebarang potongan dibuat. Sebelum ini, filem Zim Zim Ala Kazim direncanakan untuk siaran di saluran Astro First di platform OTT namun selepas perbincangan, pihak produksi bersetuju membawa naskhah ini ke layar perak. Jom sama-sama kita tonton filem Zim Zim Ala Kazim bermula 13 Jun 2024 di pawagam.