April 22, 2024

KUALA LUMPUR – Vanessa Reynauld yang kini sedang hangat dibicarakan dalam komuniti siber atas kerjayaan ke peringkat seterusnya untuk program ‘Sing! China 2023’ di Shanghai. Dalam program ini Vanessa juga telah berjaya memenangi hati keempat-empat para mentor yang terkenal di China. Setelah viral dengan kisah itu kini Vanessa, 23 tahun yang berasal dari Klang Selangor telah mengeluarkan single terbarunya yang berjudul IGAU. Lagu ini telah mendapat sentuhan istimewa daripada penyanyi dan pengubah lagu iaitu Naqiu. 

Menurut Vanessa, lagu ciptaan Naqiu itu mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri untuk dirinya. Manakan tidak, ia diciptakan khas untuk Vanessa dengan mengambil kira aspek kesesuaian vokal yang sangat unik dan luar biasa. Selain itu, Vanessa dan Naqiu pernah mempunyai lagu duet bersama iaitu Rindu Separuh Nyawa sebagai runut bunyi rasmi untuk drama 2021 dan pencapaian lagu itu telah memperoleh dua kali Anugerah Platinum daripada hasil jualan strim digital di seluruh negara.

“Saya sangat teruja melancarkan single ini apabila dapat tahu lagu ini diciptakan khas untuk saya. Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Naqiu, kami berduet menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa yang dijadikan sebagai runut bunyi rasmi untuk drama tempatan. Semenjak itu, Naqiu merasakan saya mampu menyampaikan lagu yang ‘power vocal’dan menonjolkan lagi kebolehan vokal saya sehinggalah dia membuat keputusan untuk ciptakan lagu IGAU. Saya amat menyukai karya IGAU ini kerana Naqiu benar-benar menstrukturkan lagu ini mengikut kesesuaian suara saya,” kata Artis Baru Terbaik di acara Anugerah Industri Muzik 23 (AIM 23) itu.

Tambahan pula, konsep lagu IGAU, Vanessa akui masih mengetengahkan genre balada rock dan kisah cinta. Namun jalan penceritanya berbeza berbanding lagunya sebelum ini.

“Vanessa sangat teruja dengan konsep kali ini, kerana ia menekankan elemen lagu cinta dan jiwang. Selain itu, lagu ini mempunyai cabaran dalam menyampaikan vokal kerana ia mempunyai perbezaan berbanding lagunya sebelum ini. Tetapi saya yakin, genre lagu seperti ini sangat dekat dengan citarasa pendengar.” Sambungnya lagi.

IGAU mengisahkan tentang seorang wanita yang mendambakan seseorang kekasih atau pasangan yang mampu memberikan kasih sayang dan kebahagian buat selamanya.

“Bagi yang masih bujang atau belum pernah bercinta, lagu ini sesuai untuk mereka kerana ia mengisahkan tentang seseorang yang memimpikan kekasih yang boleh dijadikan pasangan hidup yang melengkapi antara satu sama yang lain. Saya sendiri sebelum ini pun tidak pernah mempunyai pasangan bercinta dan Naqiu pun tahu perkara ini.”

Hal ini merupakan salah satu cabaran kepada Vanessa kerana sukar untuk kaitkan kisah cinta dalam lagu dengan diri sendiri. Oleh demikian Naqiu telah menciptakan naskah ini yang boleh dikaitan dengan Vanessa supaya proses rakaman untuk menjiwai dan mendalami makna baris dalam lagu ini berjalan dengan lancar.

“Sebenarnya lagu ini boleh ditafsirkan mengikut perspektif perempuan mahupun lelaki kerana kita semua adalah manusia yang mempunyai perasaan dan fitrah kehidupan yang mahukan pasangan yang boleh melengkapi antara satu sama lain. Kadang kala kita mahukan pasangan yang terlalu sempurna sehingga kita lupa kebahagian terletak pada kesesuaian pasangan itu sendiri bukan pada kesempurnaan semata-mata dan ini adalah prinsip yang Vanessa terapkan dalam diri untuk berimaginasikan dalam menyampaikan lagu ini.” kata Vanessa penuh mesra.

Dalam pada itu, Vanessa telah mendedahkan bahawa lagu IGAU sebenarnya sudah dihasilkan sekitar setahun lalu dan lagu ini memerlukan persiapan yang rapi agar lagu ini dapat diterima oleh semua orang.

“Lagu ini telah siap hampir setahun tetapi Vanessa mengambil masa untuk mengeluarkannya kerana Vanessa dan pihak syarikat rakaman mempunyai perancangan dan membuat persiapan yang rapi agar lagu ini dapat dijayakan dengan sempurna. Antara persiapan yang dilakukan seperti Vanessa berlatih menyanyikannya terlebih dahulu dan membuat beberapa perubahan bagi mencantikkan lagi struktur ayat dan sebutan dalam lirik supaya sedap bila dinyanyikan,” katanya lagi.

Setelah mencurahkan usaha, Vanessa tentunya berharap agar produk terbarunya ini mendapat sambutan selayaknya daripada para peminat di semua platform baik digital mahupun tradisional. 

“Semoga melodi lagu IGAU boleh melekat dan menghantui para pendengar di luar sana. Kepada peminat saya, teruskan menyokong saya dan dengarkan lagu ini di semua platform digital kegemaran anda semua. Saya juga berharap agar lagu ini mendapat putaran radio supaya dapat menemani anda ketika memandu. Akhir sekali apa yang penting semoga lagu IGAU mendapat tempat istimewa dalam hati anda semua!,” katanya lagi.

Lagu IGAU boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Vanessa Reynauld – IGAU (Official Music Video)