KUALA LUMPUR – Voice of Men, vocal group yang pernah menempa nama di industri hiburan di Malaysia, telah mengumumkan untuk melancarkan single ke-7 mereka, “Biarku Pergi”. Album ini telah tersedia untuk muat turun digital, penstriman, di YouTube, Spotify, iTunes dan di seluruh platform penstriman bermula November tahun lalu.
Voice of Men telah banyak melakarkan hasil karya mereka di peringkat Antarabangsa dengan menerbitkan suara latar mereka dalam lagu Akapela untuk siri kartun popular “Zaky and Friends” di Sydney, malah telah meraih lebih dari 50 juta jumlah tontonan.
Semasa negara dilanda pandemik Covid-19, Voice of Men pernah muncul dengan lagu spontan mereka, “Masak Apa Tak Jadi Hari Ini” yang telah mendapat sambutan ramai terutamanya di dalam group Facebook “Masak Apa Tak Jadi Hari Ni (MATJHN)”. Masing-masing berkongsi keterujaan mereka melihat telatah ahli Voice of Men berkongsi suka duka dalam memasak yang diterjemahkan ke dalam lagu. Tidak cukup dengan itu, Voice of Men juga sering menampilkan diri mereka di ruangan komen Facebook dengan komen mereka yang mencuit hati.
Single mereka sebelum ini, “Saranghaeyo”, telah mendapat tempat dalam drama hit TV3 dan TV1, “Nasi Kerabu Untuk Che Abe” dan “Nurlaila”.
“Biarku Pergi kali ini, sedikit berbeza dengan lagu-lagu kami sebelum ini. Lagu ini dicipta dan dihasilkan oleh komposer terkenal tanah air, Azlan Abu Hassan, yang terkenal dengan kerjasama beliau dengan artis tempatan terkenal seperti Anuar Zain, Siti Nurhaliza, Hafiz Hamidun, Innuendo, dan Adibah Noor. Sepanjang waktu kami bekerjasama dengan abang Azlan, beliau merupakan seorang komposer yang sangat teliti dan hasil kerja beliau sangat baik. Kebetulan, kami merupakan penyanyi berkumpulan pertama yang beliau pernah bantu untuk hasilkan lagu.”
“Lirik lagu Biarku Pergi ini sepenuhnya oleh saya dan dibantu oleh isteri. Isteri saya telah banyak membantu sepanjang saya bersama dengan group. Selalunya dia yang akan jadi pendengar pertama hasil karya saya.”
Menurut Fath lagi, genre Pop-Ballad merupakan sesuatu yang baru buat Voice of Men dan sudah sampai masanya untuk mereka mencuba menghasilkan lagu-lagu yang lebih segar dan dalam masa yang sama masih mengekalkan identiti mereka sebagai sebuah vocal group.
“Secara ringkasnya bait-bait lagu ini menceritakan kisah perpisahan antara dua jiwa yang pada awal perkenalan mereka memberikan indikasi bahawa mereka bagaikan dicipta untuk satu sama lain. Namun, takdir Pencipta telah menentukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yg mereka gambarkan. Telah tertulis Qada dan Qadar bahawa mereka perlu meneruskan kehidupan dengan dengan melalui haluan yang berbeza.”
“Lagu ini amat relevan dengan pelbagai kisah perpisahan yang seringkali kita dengari sama ada dari laman gosip mahupun dari media sosial netizen. Walaupun perpisahan itu biasanya sesuatu yang menyedihkan, namun Voice of Men juga inginkan agar pendengar dapat melihat perpisahan itu dari sudut positif, dimana kadangkala perpisahan itu boleh menjadi satu lembaran baharu yang membawa kepada bab baharu yang lebih membahagiakan”. Demikian kata-kata Lutfi, yang merupakan antara penyanyi utama dalam kumpulan Voice of Men.
“Ramai yang mengenali Voice of Men sewaktu PKP dulu sebagai kumpulan yang kelakar. Jadi, untuk Muzik Video Biarku Pergi kali ini, kita bawakan sedikit kelainan berbanding muzik video kami yang terdahulu. Dalam muzik video kali ini, kita tampilkan pelakon hebat tanah air, Zara Zya yang melakonkan watak sebagai seorang pelayan sebuah restoran. Alhamdulillah, proses rakaman muzik video bersama Zara Zya berjalan dengan baik. Tak sangka beliau pun kelakar juga orangnya”, seloroh Nasrul.
“Kita telah pun release muzik video Biarku Pergi di Youtube channel Voice of Men baru-baru ini. Kami berharap semua yang menonton video tersebut akan terhibur dengan telatah kami”, ujar Nasrul lagi.
“Walaupun kami dah jarang muncul dalam komen-komen di Facebook, kami berharap agar semua yang mengikuti kami atau pernah mengikuti perkembangan kami di Facebook, masih setia bersama kami dan akan terus memberikan sokongan kepada kami terutamanya menerusi hasil-hasil karya kami. InsyaAllah akan datang, ada beberapa lagu baru yang kami akan release yang akan menampilkan artis- artis lain seperti Cat Farish (Ruffedge), Ahmad Maembong, Damian Mikhail (VE), dan lain-lain. Semoga lagu-lagu ini akan mendapat tempat di hati semua InsyaAllah”, jelas Akem yang juga merupakan penyanyi utama kumpulan Voice of Men.