May 18, 2024

KUALA LUMPUR – Buat julung-julung kalinya, sebuah gabungan hebat dua penyanyi berbeza generasi, satu, penghasil konten viral media sosial yang kini bergelar penyanyi, dan satu lagi, lagenda seni suara tanah air yang terkenal dengan lagu-lagu bernada tinggi dan sentiasa malar segar, Hasif Upin dan Ziana Zain digabungkan dalam sebuah single yang cukup istimewa berjudul ‘WAKTU’,  hasil ciptaan komposer terkemuka negara iaitu Iqie Hugh, John Jeeves  dan Firdaus Rahmat, dan diterbitkan oleh label rakaman paling sensasi masa kini, Armani Entertainment Group.

“Sejujurnya, kak Ziana merupakan idola saya sejak dahulu lagi dan hampir kesemua lagu beliau saya hafal. Apabila diberi peluang keemasan ini oleh pihak rakaman, pasti saya hargai sangat-sangat,” kongsi Hasif yang merupakan pelantun lagu ‘Dilema’ yang pernah kontroversi tahun lalu.

Foto: Papa Din

Penantian selama 15 tahun akhirnya terjawab, penyanyi bertaraf legendaris, Ziana Zain kembali meyumbangkan suaranya yang sangat dirindui oleh peminat-peminat semua.

Mengapa sekarang? Jika bukan sekarang, bila lagi bukan? Saya akui apabila mendengar demo lagu ini buat pertama kali, hati terbuka untuk merakamkannya, dan ini juga adalah buah tangan yang paling istimewa buat semua peminat kesayangan yang tidak jemu-jemu menunggu sekian lamanya,” jelas Ziana yang lebih mesra dengan panggilan ‘kak Gee’.

Idea disebalik tercetusnya single ini merupakan ilham bernas pihak syarikat rakaman sendiri, AEG. Apabila ditanya siapa penyanyi yang Hasif mahu duet bersama, nama Ziana Zain meniti di bibirnya. Tambah Ziana, “Bayangkan, pihak AEG menunggu selama 9 bulan untuk mendengar jawapan dari saya dan akhirnya saya bersetuju, lagu ini sememangnya sudah tersedia dan hanya menunggu masa untuk dirakamkan, dan Alhamdulillah segala proses berjalan dengan baik.

Foto: Papa Din

WAKTU merupakan sebuah lagu pop bergenre balada rock yang sedikit teatrikal dengan komposisi muzik dramatik yang menceritakan tentang kisah penderitaan dua insan yang terluka akibat cinta yang lalu, walau sudah lama berpisah dan membawa haluan masing-masing, mereka tetap di hantui bayangan dan hidup dalam trauma.

“Sewaktu proses rakaman yang memakan masa selama 2 jam di studio Damansara, kak Gee sangat merendah diri, sentiasa memberi semangat kepada saya dan banyak yang saya pelajari dari beliau, peluang dapat berduet dengan seorang lagenda seni suara merupakan pengamalan yang sangat berharga dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” ujar Hasif.

Sebagai penyanyi berpengalaman, Ziana percaya pada takdir dan menganggap ini semua rezeki, katanya, “Ini adalah rezeki kami berdua, peluang yang diberi jangan disia-siakan, saya mengalu-alukan penyanyi baharu untuk berkolaborasi dengan saya. Hasif mempunyai tona suara yang bagus, ‘feel’ yang baik dan berdisiplin, itu yang saya suka tentangnya.

“Harapan saya agar lagu ini dapat mengubat kerinduan peminat semua, dan sentiasalah menyokong dan mendoakan semoga lagu ini mendapat sambutan hangat.

Video muzik (MV) single WAKTU turut dilancarkan hadir dengan konsep fantasi yang lain dari lain, penonton hanya perlu ke laman YouTube untuk mengetahui apakah jalan ceritanya.

Foto: Papa Din

Menurut Dato’ KK Chua, Ketua Pegawai Eksekutif AEG, “Gabungan Hasif Upin dan Ziana Zain adalah buah tangan terbaharu AEG yang amat kami banggakan, bukannya senang untuk melamar penyanyi tersohor seperti Ziana untuk turut terlibat dalam projek ini. Namun kami yakin lagu ini mampu menjadi saingan hebat terhadap lagu-lagu lain yang ada di pasaran.

Akhiri Hasif ringkas, “Saya hanya berharap agar lagu ini dapat diterima oleh semua pendengar dan semoga ramai yang menyukainya.

Lagu WAKTU boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Armani Entertainment.

Hasif Upin & Ziana Zain – Waktu (Official Music Video)