Wani Kayrie Cetus Fenomena Baharu Dengan “Cak Cak Cekuk” – Lagu Rakyat Versi Moden Untuk Generasi Masa Kini

Single Terbitan Rocketfuel Entertainment Menyentuh Realiti Pasangan Muda Zaman Sekarang

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2025 – Penyanyi serba boleh, Wani Kayrie, kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya yang bertajuk “Cak Cak Cekuk” – sebuah karya segar yang memadukan elemen muzik pop moden dan irama tradisional.

Diterbitkan oleh label ternama Rocketfuel Entertainment, lagu ini merupakan hasil kerjasama tiga komposer muda berbakat – Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh – yang berjaya mengangkat elemen nostalgia melalui lagu rakyat kepada satu karya kontemporari yang penuh makna.

Gabungan Tradisi & Realiti Masa Kini

Mengambil inspirasi daripada lagu rakyat “Cak Cekur Udang Gamit”, Wani menyatakan keterujaannya apabila pertama kali mendengar demo lagu tersebut.

“Saya terus terbayangkan situasi ramai pasangan muda yang ingin berkahwin, tapi masih berhadapan dengan cabaran kewangan. Lagu ini saya rakam dengan vibe ceria tapi padat dengan mesej – kita tak perlu tunggu sempurna untuk mulakan sesuatu yang indah,” ujar Wani.

Lirik lagu ini menggambarkan realiti anak muda yang mahu membina rumah tangga tetapi terhalang oleh kekangan ekonomi. Dengan gaya bersahaja, Wani menyuntik unsur nasihat dalam bentuk yang ringan dan menghiburkan, menjadikan lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu bentuk empati kepada realiti masyarakat hari ini.

Wani Kayrie

“Perlahan Dayung Sampai Hujung” – Semangat yang Dibawa

Bagi Wani, “Cak Cak Cekuk” bukan sekadar lagu, malah cerminan perjalanan hidup dan harapan kepada mereka yang sedang berusaha mengejar impian.

“Lagu ini sangat peribadi buat saya. Dulu pun saya bermula dengan banyak cabaran, tetapi seperti bait liriknya – ‘Perlahan dayung sampai hujung’ – saya mahu peminat rasa dikuatkan dengan semangat itu,” katanya lagi.

Sesuai Untuk Majlis Kahwin & Raikan Cinta

Dengan nada yang ringan tetapi sarat mesej, “Cak Cak Cekuk” berpotensi menjadi pilihan lagu latar dalam majlis perkahwinan, bridal shower mahupun acara kekeluargaan. Aura tradisional yang diangkat dalam bentuk moden memberi nafas baharu kepada suasana majlis penuh cinta dan kasih sayang.

Kini Di Semua Platform Digital

“Cak Cak Cekuk” boleh didengari mulai hari ini di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music. Muzik video eksklusif lagu ini turut bakal dilancarkan tidak lama lagi, menjanjikan visual yang menarik dan berbeza dari kebiasaan.

Untuk perkembangan terkini mengenai Wani Kayrie dan projek-projek baharunya, ikuti laman sosial rasmi beliau serta Rocketfuel Entertainment.