May 18, 2024

Menepati selera penonton Malaysia yang gemar menikmati naskhah seram, Multimedia Entertainment dengan bangganya mempersembahkan filem berjudul Wayang Puaka yang telah ‘menghantui’ anda pada 2 November 2023 secara eksklusif di Prime Video.

Wayang Puaka yang diedarkan oleh MyContent Distribution bukan sebuah naskhah klise tetapi ia dipersembahkan seperti ‘cerita di dalam cerita’ yang sangat dekat dengan masyarakat hari ini iaitu mengangkat penggunaan media sosial sebagai medium penyampai dibaluti plot twist dan pengakhiran yang tidak dapat diteka sejak awal.

Memperkenalkan barisan pelakon muda dan baru iaitu Afiq Rahem, Said Ismail, Abimadyan, Amalina Arham, Hafiq Hatta dan Nesa Idrus, penerbit tidak mahu berpegang kepada konsep bintang terkenal akan melariskan produk namun percaya bakat dan jalan cerita yang baik akan membuat sesebuah naskhah menjadi buah mulut dan dikenali.

Malah dengan langkah lebih berani, Penerbit Wayang Puaka iaitu Keoh Chee Ang serta Pugalenthan Supramaniam bersama Penerbit Eksekutif, Datuk Steven Lim, Agnes Rozario, YK Tung dan KC Hoe bersama Penerbit Bersama, Datin Vince Chin, Esther Hau dan Tan Lee Kock merahsiakan invididu kreatif yang duduk di kerusi sutradara.

“Kami tahu peranan paling penting dalam penghasilan Wayang Puaka adalah sutradara atau pengarah.

“Tapi seperti misterinya Wayang Puaka, kami juga memutuskan untuk merahsiakan identiti pengarah yang memberi sentuhan ‘berpuakanya’ terhadap naskhah ini.

“Kami percaya tanpa barisan pelakon yang nama sudah terkenal dan tanpa menyebut nama pengarah misalnya, Wayang Puaka akan laris kerana pengisiannya.

“Jangan sampai terlepas menonton Wayang Puaka yang akan memberikan definisi baharu tentang genre seram, aktiviti paranormal dan kebenaran tentang roh atau dunia ghaib,” ujar Penerbit Wayang Puaka iaitu Keoh Chee Ang.

Mengisahkan tentang sekumpulan remaja iaitu Afiq, Panjang, Said, Hatta dan Amalina, Wayang Puaka mengangkat kisah penyiasatan atau aktiviti paranormal yang dirakamkan oleh para-YouTuber ini untuk tontonan umum.

Krew YouTube Anomali, diketuai oleh Hatta menjadi sensasi dalam talian (online) dengan meneroka lokasi berhantu. Walau bagaimanapun, tarikan populariti membawa kepada penipuan dalam kumpulan kerana salah seorang ahli merancang untuk memalsukan penemuan hantu untuk mendapat lebih banyak tontonan.

Setelah menemui muslihat itu, Hatta memutuskan untuk pergi secara solo, menyiasat pawagam berhantu. Semasa misi solonya, dia hilang secara misteri, meninggalkan adiknya Afiq terdesak untuk mendapatkan jawapan.

Enggan menerima kehilangan Hatta sebagai satu kemalangan, Afiq mengumpulkan ahli Anomali yang tinggal untuk meneruskan misi abangnya dan membongkar kebenaran. Siasatan mereka mendedahkan kuasa jahat yang didorong oleh ilmu hitam, dengan seorang pengamal jahat melakukan ritual gelap yang melibatkan pengorbanan manusia untuk mendapatkan kuasa ghaib.

Apakah yang telah terjadi dengan Hatta dan adakah Afiq dan kumpulan Anomali mampu membantu serta menyelesaikan masalah Hatta yang terperangkap di alam ghaib?

Jangan terlepas untuk menonton Wayang Puaka edaran MyContent Distribution diplatform Prime Video bermula 2 November 2023.