September 8, 2024

Kumpulan rock metal terkenal tanah air, XPDC Kita Peng Yu sentiasa menjadi rebutan penganjur apabila setiap minggu mereka tidak putus-putus mengadakan konsert berskala kecil mahupun yang besar. Terbaharu XPDC telah berjaya menawan hampir 10,000 penonton dan peminat setianya di Daerah Saratok, yang terletak di bahagian timur laut Bandaraya Kuching, Sarawak sempena Sambutan Awal Tahun Baharu 2024, di sini malam tadi.

Konsert yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Saratok di mulakan dengan ucapan perasmian oleh ADUN N39 Krian dengan diiringi Ahli Majlis Daerah Saratok, Sarawak sebelum Ary, Zuar, Jeff dan Amy memulakan persembahan. Suasana sedikit sayu apabila penonton dan peminat yang hadir memberi penghormatan dengan bacaan Al Fatihah buat Allahyarham Syed Ismail Bin Syed Ibrahim atau Mael XPDC. Seterusnya penonton terus disajikan dengan segmen ‘tribute to legend Mael’ menerusi lagu tiga serangkai medley hits XPDC iaitu Titian Perjalanan, Hentian Ini serta Aku Dan Sesuatu.

Ary seterusnya memberi aksi yang cukup energetik menerusi lagu-lagu rancak XPDC iaitu Ntahapahapantah dan Bahalol. Peminat bagaikan ‘histeria’ apabila lagu Nafisa didendangkan. Lagu Nafisa ini mengingatkan nyanyian Arwah Mael yang akan mengajak peminat sing along bersamanya.

Peminat tegar XPDC yang hadir dari pelbagai pelusuk daerah dan negeri bagai melepaskan rindu dengan muzik-muzik keras XPDC sambil ‘headbanging’ disaat XPDC mempersembahkan lagu seperti Hidup Bersama, La Obe, Bibir Mesra Jiwa Parah menerusi segmen Metal 60an.

XPDC kembali mengimbau nostalgia menerusi lagu hits yang terdapat di dalam album keduanya iaitu CT Cinta Kenangan Silam sebelum konsert dihentikan seketika untuk memberi laluan kepada acara countdown malam tahun baharu. Percikan bunga api menghiasi suasana langit malam selepas Ahli Majlis dijemput naik ke atas Pentas bersama Pengurus XPDC dan anggota XPDC untuk sama-sama melancarkan Sambutan Malam Tahun Baharu 2024.

Seusai majlis pelancaran tersebut, konsert bersambung kembali dimana XPDC Kita Peng Yu buat julung kalinya beraksi di Saratok Sarawak mendendangkan lagu tema tahun baharu yang dipopularkan oleh kumpulan rock Barat, Europe berjudul The final countdown sebelum mengakhiri konsert dengan sebuah lagu wajib XPDC iaitu Semangat Yang Hilang.

Meskipun konsert telah berakhir namun peminat tegar XPDC masih lagi tidak berganjak dari venue konsert. Jeritan peminat yang masih mahukan XPDC meneruskan persembahan akhirnya dituruti. Bagaikan satu kepuasan di malam tahun baharu apabila XPDC menghadiahkan lagu bonus berjudul Kita Peng Yu khas buat peminat yang sentiasa terus menyokong perjuangan XPDC.