January 15, 2025

Kumpulan lagenda rock, XPDC yang telah lama bertapak dalam industri hiburan tanah air terus kukuh mengekalkan jenama mereka dalam kalangan peminat. XPDC Kita Peng Yu yang ditubuhkan 10 tahun terakhir oleh pengurusnya Bro Yazid bersama Arwah Mael, Zuar, Amy dan Jeff sentiasa menjadi rebutan di kalangan penganjur konsert dan juga penganjur karnival perniagaan. Setelah pemergian Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim, kekosongan tempat beliau telah diisi oleh Ary bagi meneruskan legasi perjuangan Arwah Mael.

Sempena menyambut malam tahun baharu pada 31 Disember 2023, kumpulan XPDC Kita Peng Yu telah diterbangkan khas dari semenanjung ke Saratok, Sarawak untuk mengadakan konsert bagi meraikan peminat XPDC Kita Peng Yu di sini. Konsert yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Saratok akan bermula jam 10.45 malam ini. 

Peminat XPDC juga tidak melepaskan peluang untuk bertemu secara dekat dengan anggota XPDC. Kunjungan mereka di Saratok, Sarawak pada kali ini akan memberi ruang seluas-luasnya kepada XPDC Kita Peng Yu untuk hadir semula di Negeri Sarawak, Sabah, dan sekitarnya. XPDC juga berharap dapat mengadakan persembahan di negara jiran Kalimantan, Indonesia dan Negara Brunei Darussalam.

XPDC menjangkakan ribuan peminat yang datang daripada Kuching, Brunei, Kalimantan, Indonesia serta sekitar Sarawak akan memenuhi venue konsert ini bagi meraikan sambutan Malam Tahun Baharu 2024 (Countdown New Year 2024).

Bagi peminat yang hadir pada malam ini, diharap dapat menyaksikan pengalaman yang tidak akan dilupakan dengan persembahan hebat XPDC Kita Peng Yu untuk meraikan warga Saratok, Sarawak sempena sambutan Malam Tahun Baharu 2024 (Countdown New Year 2024).