Yayasan Nurjiwa Beri Insentif RM500 kepada Pelajar Cemerlang SPM

PUTRAJAYA, 1 Jun – Yayasan Nurjiwa buat julung kalinya memperkenalkan insentif khas berjumlah RM500 kepada pelajar yang memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan akademik.

Menerusi kerjasama dengan pusat tuisyen terkemuka, PTTI, seramai 401 pelajar telah menerima insentif tersebut dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), menjadikan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM200,500.

Pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berkata inisiatif ini bertujuan memberi motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai keputusan cemerlang dalam bidang akademik.

“Ini adalah kali pertama Yayasan Nurjiwa menyerahkan insentif kepada pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan semua A dalam SPM. Harapan kami adalah agar usaha ini mampu memberi dorongan kepada calon-calon SPM pada masa akan datang untuk berusaha lebih gigih dan mencapai kejayaan yang sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025, pagi tadi.

Selain menghargai pencapaian akademik pelajar, Yayasan Nurjiwa turut komited dalam membantu golongan pelajar kurang berkemampuan, khususnya dari kumpulan B40 dan anak-anak yatim. Menurut Siti, yayasan itu menyediakan makanan harian kepada hampir 100 pelajar setiap hari sebagai salah satu bentuk bantuan berterusan.

“Setiap hari kami menyediakan makanan kepada hampir 100 pelajar yang kurang berkemampuan. Selain itu, bantuan ini turut melibatkan anak-anak yatim. Usaha ini telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu dan kami berharap ia dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar yang memerlukan,” jelasnya.

Yayasan Nurjiwa yang diasaskan oleh pasangan selebriti terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan sebagai sokongan kepada pembangunan modal insan negara.