April 18, 2024

Suria FM menyajikan pelbagai pengisian menarik menerusi kempen Raikan Yang Dirai sepanjang Ramadan ini dengan penganjuran program “Ybae Suria Masuk Kampung” bermula 16 Mac 2024 sehingga 30 Mac 2024 dengan menampilkan barisan penyampai Suria di beberapa lokasi terpilih seperti di Pulau Pinang (16 Mac 2024), Muar, Johor (23 Mac 2024), dan Lembah Klang (30 Mac 2024). 

Pada Sabtu ini (16 Mac 2024), Penyampai Suria FM, Dato Fizz Fairuz, Ajak, Kai Hassan, Cik Piah, Rara, Chiwan dan DJ Lin, akan turun padang bagi menyantuni penduduk sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang bertempat di Masjid Al-Jamiul Badawi. Acara yang akan bermula seawal 10 pagi itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya rewang bersama penduduk, pengagihan bubur kanji, berbuka puasa, solat terawih berjemaah. Bagi menjayakan kempen #SuriaKongsiRezeki, Suria FM akan turut menyerahkan sumbangan kepada pihak masjid serta kanak-kanak dan warga emas yang hadir. Majlis akan turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Dato Seri Reezal Merican Naina Merican, selaku ADUN Bertam. 

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin), program bertujuan untuk mengimarahkan kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak dengan berkongsi rezeki selain menghargai kesetiaan pendengar setia sekaligus mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara penyampai dan pendengar Suria FM. 

“Di kesempatan ini juga, saya mewakili seluruh warga kerja Suria FM ingin mengucapkan Salam Ramadan Al-Mubarak kepada semua khasnya untuk pendengar setia kami di mana pun mereka berada. Buat pendengar Suria di Selatan tanah air, nantikan kedatangan penyampai Suria pada sabtu hadapan (23 Mac 2024) bertempat di Masjid Sg Abong, Muar, Johor,” ujarnya. 

Selain itu, Suria FM dan FAMA sekali lagi jalin kerjasama menerusi program “Suria Belanja Makan” yang telah diadakan pada Sabtu lalu (9 Mac 2024) bertempat di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri, bersempena sambutan ‘Semarak Ramadan Madani peringkat kebangsaan’. Acara yang bermula seawal jam 9 pagi itu, pengunjung dihadiahkan goodie bag percuma berisi produk Agro Madani dan barangan eksklusif Suria serta berpeluang beramah mesra bersama penyampai Morning Morning Suria, Dato Fizz Fairuz, Ajak dan Kai Hassan.