KUALA LUMPUR – Jika perlu menamakan seorang bintang hiphop yang meningkat naik dan berjaya meninggalkan kesan dalam industri muzik tempatan, Yonnyboii jelas merupakan calon tersebut.
Sejak kemunculannya beberapa tahun yang lalu, bintang pelbagai bakat ini telah berjaya mencuri perhatian arena hiphop Malaysia.
Kerap mengambil kesempatan atas setiap peluang yang diberikan, Yonnyboii terus mengorak langkah dan kini muncul dengan sebuah lagi karya baharu berjudul Sengkek.
Dihasilkan bersama rakan seperjuangan dari Singapura ALYPH, Sengkek merupakan sebuah karya seni yang mampu memberikan kelainan dalam dunia hiphop serantau.
Dicipta dan ditulis oleh Yonnyboii dan ALYPH, ia disusun oleh pemenang Anugerah Juara Lagu dan tokoh hiphop tersohor, SonaOne bersama-sama ALYPH yang juga bertindak sebagai penerbit bersama.
Sengkek merujuk kepada sebuah perkataan yang digunakan dalam Bahasa Malaysia lisan di kalangan generasi muda. Ia bermakna tidak berduit dan bermula sebagai satu imbasan tentang keadaan Yonnyboii di awal kerjayanya yang masih belum berduit namun ingin mengejar impiannya.
“Ia menceritakan perjalanan ramai orang yang bermula mengejar cita-cita tanpa wang dan bagaimana kita berjaya melalui pelbagai cabaran untuk sampai ke satu titik selesa.
Lagu ini sebenarnya ditulis semasa saya sedang mengalami situasi tersebut beberapa tahun lepas dan meletakkannya di aplikasi TikTok. Selepas menerima pelbagai respons positif daripada peminat dan pengikut, saya mengambil keputusan untuk menyiapkannya dan menjadikan ia projek terbaharu saya.
Saya menghantar demo tersebut kepada SonaOne untuk proses susunan dan penerbitan. Semasa SonaOne sedang mengerjakannya di studionya di KL, ALYPH singgah ke studio beliau, mendengarnya dan terus menyatakan hasratnya untuk menjadi sebahagian dari lagu tersebut dan memberikan perspektifnya yang tersendiri. Saya berbesar hati kerana memang impian saya untuk bekerjasama dengan ALYPH,” jelas Yonnyboii tentang penciptaan awal lagu ini.
ALYPH pula mengaku bahawa dia melihat potensi besar karya ini sejak pendengaran pertama lagi.
“Saya dapat dengar keikhlasan serta kejujuran dalam suara Yonnyboii semasa mula-mula mendengar demo ini di studio SonaOne. Saat itu saya tahu saya mampu memasukkan sesuatu dari sudut pandang saya untuk lagu tersebut,” kata ALYPH.
Gara-gara kesibukan jadual mereka, kedua-dua bintang ini terpaksa melakukan proses rakaman berasingan dari rumah masing-masing.
Lagu yang mengambil masa sekitar seminggu untuk disiapkan ini turut hadir dengan sebuah video muzik yang menarik.
“Saya gembira ALYPH dapat bersama-sama menyertai saya di KL untuk proses penggambaran video muzik. Terdapat dua babak utama namun semuanya dirakam di satu lokasi. Ia mengambil masa sekitar enam hingga lapan jam untuk disiapkan dan kami terpaksa melakukan penggambaran di dalam kerana cuaca buruk di kawasan luar tika itu,” tambah Yonnyboii.
Kedua-dua mereka berharap lagu ini akan diterima baik dan memberi inspirasi kepada semua pendengar untuk terus ke hadapan dan jangan berputus asa dalam mengejar impian masing-masing.
Sengkek boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 24 Februari lalu, manakala video muziknya sudah boleh ditonton di laman YouTube Yonnyboii pada hari yang sama.