KUALA LUMPUR, 11 DISEMBER 2020 – Empat buah pusat jagaan anak-anak yatim di Setapak telah menerima sumbangan barangan runcit daripada Yayasan Pelindung Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (YPKPJM) hari ini.
Empat buah pusat jagaan yang menerima sumbangan adalah Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Miskin Penyayang Nur Iman, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Permata Hatiku Kuala Lumpur dan Selangor (PERMATA HATIKU), Pusat Jagaan Nuri dan Pertubuhan Kebajikan Lindungan Ikhlas Kuala Lumpur.

Pemangku Timbalan Pengerusi YPKPJM Datuk Eko Indra Jaya berkata program yang diadakan setiap tahun itu adalah satu program khas dengan kerjasama Balai Polis Setapak, yang bertindak memberi maklumat tentang rumah-rumah kebajikan di kawasan itu.
“Disebabkan sudah tiba penghujung tahun pihak yayasan memulakan langkah terakhir untuk tahun ini dengan membantu rumah-rumah kebajikan ini, insya-Allah pada tahun hadapan kita akan ke Kelantan bagi menolong mangsa banjir di sana pula,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Kepada Rumah Anak-anak Yatim kawasan Setapak di Balai Polis Setapak

Menurut wakil pusat jagaan yang menerima sumbangan tersebut memberitahu “kami mengalu-alukan penyumbang untuk menyalurkan sumbangan mereka kepada YPKPJM agar dapat diagihkan kepada pusat-pusat jagaan yang memerlukan,” ujar Sarimah Ali yang juga pengelola Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Miskin Penyayang Nur Iman.

Turut hadir dalam majlis tersebut Dato’ Sri Sharizal Sarip yang merupakan wakil penyumbang dan juga Ketua Balai Polis Setapak.
Wartawan / Foto: Nosdin Abdul