Penantian Selama 7 Tahun, Akhirnya Artis Wanita Malaysia-Antarabangsa Muncul Dengan Single Melayu Yang Menyentuh Sanubari
KUALA LUMPUR – Bagai “sirih pulang ke gagang”, begitulah yang dirasakan apabila mendengar single terbaharu dari artis wanita Malaysia yang kini cemerlang di persada antarabangsa, Yuna. Penantian selama 7 tahun akhirnya terjawab apabila Yuna kembali dengan karya dalam bahasa Melayu yang cukup menyentuh sanubari berjudul ‘MENANTI’, dihasilkan sepenuhnya oleh Yuna sendiri bersama penyanyi rap antarabangsa, penggubah lagu dan penerbit muzik yang berpangkalan di Berlin, Jerman, Kenny J Macartney dan diterbitkan oleh Yuna Music.
“Sudah 7 tahun rupanya, sehingga saya sendiri tidak sedar dengan peredaran masa yang pantas! Bagi saya, untuk menanti inspirasi itu datang adakalanya lambat dan tidak boleh dipaksa-paksa. 7 tahun kebelakangan ini saya banyak fokuskan tenaga saya untuk pembikinan album terdahulu seperti ‘Chapters’, kemudian ‘Rouge’, dan yang terbaharu ‘Y5’, di mana setiap album saya harus persiapkan diri untuk siri jelajah sekitar Amerika Syarikat, dan pandemik COVID-19 melanda, terlalu banyak yang berlaku,” ujar nama pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai, 36 tahun.
Masih lagi berkelana nun jauh di Los Angeles, Amerika Syarikat, Yuna tidak mahu terburu-buru menghasilkan album seterusnya dan memilih untuk memberi fokus terhadap single dan EP (Extended Play) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Selain single dan EP, saya juga mahu fokus bersama keluarga dan tidak sabar beraya bersama. Selepas berakhirnya pandemik, dalam bulan Ogos pada tahun 2021, saya dan suami pulang ke Los Angeles setelah lebih kurang 18 bulan berada di Malaysia, kami pergi ke sebuah tempat bernama Joshua Tree untuk menulis beberapa buah lagu dan salah satunya adalah MENANTI.
“Ketika itu, MENANTI masih belum dihasilkan sepenuhnya dan hanya melodinya sahaja. Kemudian pada Januari 2023, setelah membelek fail-fail lama, saya terjumpa melodinya semula dan mula menulis liriknya, pada mulanya saya mahu menulis dalam bahasa Inggeris tetapi yang keluar adalah bahasa Melayu, maka terhasillah MENANTI.
Single MENANTI adalah sebuah lagu cinta yang menceritakan tentang kerinduan mendalam terhadap seseorang yang jauh, seseorang yang telah pergi tetapi masih lagi terpatri di hati, sebuah ikrar setia MENANTI seseorang yang amat dikasihinya.
“Bagi saya, apabila menulis lirik lagu ini, saya terkenangkan Allahyarhamah sepupu saya, Amy, dia juga merupakan teman baik saya, hidup saya seakan hancur apabila mengetahui bahawa dirinya kini sudah pergi buat selamanya, jadi secara organiknya, saya curahkan jiwa saya ke dalam lagu ini. Ketika saya perdengarkan lagu ini kepada beberapa rakan artis, mereka merasa sedih walaupun bait-bait liriknya seperti lagu cinta,” jelas Yuna.
Mungkin ini adalah jawapannya buat Yunationals (panggilan peminat Yuna) yang tertunggu-tunggu bila agaknya Yuna akan kembali menghasilkan karya dalam bahasa Melayu, katanya, “Susah hendak berjanji dengan peminat di Malaysia setiap tahun kerana komitmen yang tinggi di LA, lagipun saya tidak suka menghasilkan sesuatu yang sambil lewa kerana tidak adil bagi peminat. Saya tidak percaya dengan kaedah ‘multi-tasking’ kerana itu adalah kesalahan terdahulu, kini saya lebih fokus terhadap satu-satu perkara dan hasilnya saya berjaya meraih beberapa pengiktirafan, di antaranya anugerah ‘Gold Record’ daripada RIAA (Recording Industry Association of America) bagi single ‘Crush’ yang dirakamkan bersama Usher, selain berpeluang berkolaborasi dengan artis ternama seperti Tyler the Creator, G-Eazy dan juga Pink Sweats.
Lagu yang berdurasi 3:05 minit ini nyata kedengaran ‘signature’ bunyi Yuna yang lazimnya, namun ada pembaharuan dalam susunan melodinya yang terasa segar dengan elemen kemelayuan yang cukup moden sesuai dengan statusnya sebagai penyanyi antarabangsa
Kongsi Yuna mengenai pembikinan single dan EP-nya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, “Lagu ini mengambil masa selama 2 bulan untuk disiapkan dan hanya dirakamkan di rumah di LA sahaja, saya mempunyai sebuah ‘home studio’, jadi agak mudah bagi saya untuk berkarya, semuanya buat sendiri di rumah, senang!
Sebagai anak seni yang berada di perantauan buat tempoh yang lama, pelbagai fasa hidup telah dilaluinya dan sedikit sebanyak telah membentuk keperibadiannya sekarang, kongsi Yuna, “Berbanding dahulu, saya terlalu mengambil serius perkara yang ‘trivial’ tetapi kini, saya lebih tenang. Saya telah kecap pelbagai benda yang saya sendiri tidak sangka akan perolehinya, walaupun terdapat halangan dan juga kecaman.
“Saya bangga dengan diri sendiri kerana mengejar cita-cita yang bukannya untuk meraih pujian orang, dahulu saya seorang yang terlalu bekerja keras dan sebenarnya tidak bagus untuk diri saya, kini saya lebih fokus dengan perkara yang lebih penting seperti kesihatan, keluarga dan kehidupan.
‘Diam tak diam’, single ‘Dan Sebenarnya’ sudah pun berusia 15 tahun, kini Yuna kembali dengan single terbaharu dan sebuah EP yang direncanakan dilancarkan pada April ini, harap Yuna, “Semoga lagu ini mengingatkan anda tentang seseorang yang disayangi apabila mendengarnya.
Dan juga, jangan lupa nantikan EP terbaharu saya yang mengetengahkan muzik ‘folk’ dan R&B!”
Lagu ‘MENANTI’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala audio single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Yuna.