Zamani anggap isu stesen TV kejar rating berbanding bakat disebabkan perubahan zaman

KUALA LUMPUR, 10 FEBRUARI 2022 – Penyanyi terkenal kumpulan Slam, Zamani atau Zamani Ibrahim, 51, mempunyai pendapat sendiri tentang isu stesen TV yang menganjurkan sebuah pertandingan dengan mengambil peserta yang tiada bakat demi mengejar rating yang mana telah heboh diperkatakan beberapa hari ini.

Bekas peserta Gegar vaganza musim kelima (GV5) berkata, peredaran zaman menjadikan program televisyen tidak sama seperti dahulu.

“Pada saya kedua-duanya (kualiti dan populariti) begitu penting, sebabnya ini show business.

“Tapi dari segi kualiti kita tidak boleh letak tepi sebab itu pertandingan, kita nak cari juara yang betul-betul berkualiti tetapi disamping itu populariti juga amat penting bagi menjayakan sesebuah program tersebut.” Katanya.

Zamani menjelaskan bahawa industri telah berubah mengikut format yang diguna pakai pada zaman sekarang.

“Industri sekarang memang begitu. Jika dilihat di luar negara pun keadaan sama juga berlaku. Cuma pada pendapat saya untuk mencari bakat baharu, kualiti lebih penting.” Kata Zamani.

Zamani berkata demikian ketika diminta mengulas tentang program Big Stage 2022 (BS22) yang dilihat sengaja mencipta kandungan siaran yang membuat kejutan untuk meraih jumlah tontonan.

Ramai yang kurang setuju dengan penyertaan usahawan kontroversi Iqbal Zulkefli sebagai salah seorang peserta program Big Stage 2022 setelah mendapat kritikan pada episod pertama tersebut.

Zamani ditemui dalam majlis sidang media ‘A Night To Remember’ bersama Dato’ Jamal Abdillah, di Bukit Kiara, semalam.

Persembahan istimewa dua lagenda ini bakal diadakan pada 26 Mac 2022 di Manhattan Ballroom Berjaya Hotel, Kuala Lumpur dengan berkonsepkan persembahan dan makan malam.

Dato’ Jamal dan Zamani

Setakat ini, Dato’ Jamal dan Zamani sedang giat melakukan persediaan yang rapi dan berharap dapat memberikan yang terbaik buat peminat yang bakal hadir pada malam persembahan itu nanti dengan persembahan yang bakal disajikan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Syair Si Pari-Pari ini juga bakal mengadakan konsert bersama Slam pada 12 Februari ini di Plenary Hall KLCC. Zamani berkata beliau mempunyai keyakinan membuat persembahan sambil berdiri disebabkan beliau hanya membawa 6 buah lagu sahaja berbanding konsert bersama Slam yang akan beliau bawa sebanyak 20 lagu.

“Dari segi pemilihan lagu untuk majlis makan malam ini mungkin berbeza sedikit dengan konsert Slam kerana saya akan bawa lagu-lagu dari album solo saya”. Ujarnya.

Selain itu beliau akan berduet bersama Dato’ Jamal menerusi dua buah lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Saleem sebagai tribute kepada penyanyi itu.

Majlis anjuran Imaginex akan menyediakan 100 buah meja dengan harga yang berbeza. Pihak penganjur memilih konsep ‘Pop Night’ pada malam tersebut, serta mengikut garis panduan yang disediakan oleh MKN dalam situasi semasa ketika ini yang masih dibelenggu wabak Covid 19.

Tiket boleh dibeli secara atas talian bermula 8 Februari di www.ilassotickets.com

Zamani
Dato’ Jamal Abdillah

photo by: Subky Hj Bebit