March 21, 2025

Hampir 30 tahun penubuhan Spider, kugiran yang berpaksikan nuansa Ska dan Rock itu akhirnya tampil dengan sebuah konsert Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Jun lalu dengan disaksikan sekitar 2,400 peminat yang hadir pada malam tersebut. Spider menggunakan sebaik mungkin ruang dan peluang untuk beraksi secara solo di pentas yang cukup lengkap fasilitinya.

Sengatan berbisa mereka ternyata berjaya membuatkan ruang Zepp Kuala Lumpur ‘full house’ dengan rendisi lagu terbaik Spider seperti Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi, Aladdin, Laukku Cukup Masin dan Nazraku dilantunkan dengan ‘gila’ dan ianya disifatkan sebagai perjalanan panjang yang layak dinikmati bersama saat ia ‘keluar sarang’.

Selaku penganjur, pihak IFIX Entertainment juga optimis Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 mencipta sensasi tersendiri di sebalik para penggeraknya. Malah kenyataan ini direalisasikan dengan kehadiran 2,400 penonton yang hadir.

Menerut vokalis kumpulan Spider, Tam Mustafah, dia merasa teruja dan bersyukur apabila konsert Spider Keluar Sarang ini mendapat sambutan hangat peminat dan dia juga berharap penonton yang hadir berpuas hati dengan aksi persembahan Spider.

“Secara jujurnya pihak IFIX Entertainment sudah lama mengikuti perjalanan karier Spider. Walaupun sepanjang hampir 30 tahun Spider hanya memiliki enam album studio penuh tetapi daripada setiap album yang terhasil, mereka punya banyak hit atau lagu popular yang diminati ramai.

“Konsep ‘keluar sarang’ yang dicapai bersama IFIX Entertainment menjadi pertaruhan kami kerana peminat sedia maklum sudah cukup lama Spider tidak beraksi di pentas dalam konsert berskala besar.

“Tentu saja Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 menjadi medan tempur paling kecoh pernah dianjurkan,” ujar Tam.

Konsert Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 yang bermula tepat jam 8.40 malam itu terlebih dahulu ‘dipanaskan’ dengan lagu Ajaib, Rasakan Resapkan dan Anti Graviti sekaligus memaksa khalayak untuk terus ‘memaku’ diri mereka di hadapan pentas.

Selain Tam, Spider dianggotai oleh Pown (gitar), Eiz (bass) dan Aie (dram) tampak antusias dengan limpahan penonton luar jangka sehingga memaksa berasak-asak untuk terus menikmati santapan halwa telinga melodi ciptaan Spider hingga ke note terakhir.

Ngam Ho, Lengit dan Katalis terus bertali arus menjadi pertaruhan Spider sekaligus memaksa khalayak untuk bernyanyi bersama menerusi Mungkinkah Terjadi.  Lontaran vokal bersama peminat sudah pasti bikin gamat seluruh ruang.

“Dalam hidup ini ada yang sejak awal hingga akhir bersama, ada juga sempat bersama, tapi pergi di pertengahan jalan,” ujar Tam sebelum menyampaikan lagu Mungkinkah Terjadi.

Suasana bening seketika takkala Tam berkata sedemikian lantas membawa khalayak kepada bibit kenangan Spider sewaktu dibarisi oleh arwah Tony dan Napie yang kini menghadapi masalah kesihatan sekaligus memaksa beliau direhatkan.

Tiga dekad mewarnai dunia seni dipraktikkan sebaik mungkin untuk  membuai peminat dengan lagu Laukku Cukup Masin, Telinga ke Tulang, Mabuk, Cinta Dewa Dewi dan Kacap Terlabik.  Muzik Spider kedengaran lebih segar dengan elemen ‘horn’ yang memberikan warna yang berbeza persembahan Spider sebelum ini.

Meskipun percaya dengan kekuatan lagu-lagu yang dipersembahan pada malam itu, Spider masih mahu memberikan penghormatan peribadi pada lagu-lagu ‘malar segar’. Justeru itu mereka memilih lagu Hingga Akhir Nanti yang pernah dipopularkan oleh Alleycats sebagai tanda hormat.

Konsert anjuran IFIX Entertainment itu terus membawa khalayak ‘klimaks’ dengan seleksi lagu-lagu yang mesra telinga seperti Buat Sang Puteri, Kekasihku, Nazraku, Kasih Latifah dan Tapi Bagaimana.

Detik terus berlalu, meskipun penonton ‘panas’ dengan asakkan lagu-lagu Spider malah masih setia bersama band pujaan, namun dalam kedinginan suhu penghawa dingin Spider tetap akur untuk melakukan ‘encore’ dengan lagu Relaku Pujuk, Aladdin dan Bila Nak Saksi sekaligus menamatkan konsert Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024.

Mendominasi keseluruhan pentas bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi Spider bijak menggunakan segala fasilitas. Mainan pencahayaan yang dipaterikan dengan sistem bunyi yang cukup ‘mesra’ telinga juga menjadi faktor utama untuk menjadikan konsert ini sebagai ‘menumen agong’ milik Spider dan peminat.