May 22, 2024

(Oleh: Zizi Hashim)

KUALA LUMPUR – penyanyi lagenda dan juga penghibur terkenal, Ziana Zain telah ‘turun padang’ bagi mengadakan sesi pertemuan eksklusif bersama peminat fanatiknya pada 21 April yang lalu jam 3 petang bertempat di Sungei Wang Centre Court, Kuala Lumpur. Dianjurkan oleh Anuar Zain Network &  Ziana Zain Network dengan kerjasama Altus Prohouse telah berbesar hati menganjurkan sesi bertemu dan tandatangan eksklusif sebagai tanda penghargaan buat peminat bersempena perayaan awal Ziana Zain Concert 2024 yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei 2024 ini.

Ziana Zain atau lebih mesra dipanggil Kak Gee berkongsi kegembiraannya apabila tiket Ziana Zain Concert 2024 laris terjual dan kebanyakan kategori telah pun sold-out. Ini adalah suatu yang amat membanggakan buat dirinya setelah sekian lama tidak mengadakan konsert besar seperti ini.

“Tiket yang tinggal hanyalah Diamond dan VIP sahaja. Masih boleh dapatkan tiket secara online sebelum terlambat ya! VIP pun tinggal limited, dah tak banyak. Kak Gee sangat teruja dan tak sabar hendak menghiburkan semua.” Ujarnya tampil mempesona seperti biasa dengan aura diva yang menyerlah, Ziana Zain mengenakan busana blazer earth colour sedondon dengan celana. 

Terkenal dengan sifat ramah dan merendah dirinya, Ziana Zain menyambung, “Kita nak bagi hype lagi konsert yang tinggal masa sebulan lagi, nak beri apresiasi pada peminat untuk dapatkan tandatangan eksklusif dan beramah-mesra. Semoga dengan sesi ini dapat menambah keghairahan dan keterujaan peminat menjelang konsert Kak Gee pada 25 Mei nanti.” 

Menjanjikan persembahan yang terbaik dan akan ada elemen kejutan pada konsert itu nanti, Ziana turut menjelaskan, “Malam itu nanti Kak Gee akan persembahkan 20 lagu yang lebih menjurus kepada nostalgia dan perjalanan cerita karier seorang Ziana Zain. Mungkin ada yang tanya kenapa lagu ni ada lagu ni takde, semua tu kita akan tengok segment by segment.

“Lebih banyak berkonsepkan Ziana Zain, lagu dan baju. Peminat Kak Gee ni suka nak tengok apa kak Gee pakai, bukan saja nak dengar lagu. Oleh itu, semua akan jadi surprise pada  malam konsert nanti.” Kata Ziana di hadapan media sebelum sesi pertemuan bersama peminatnya.

Tepat jam 3 petang, Ziana Zain muncul di atas pentas mini di ruangan Centre Court Sungei Wang Plaza bagai yang dijanjikan. Menghadiahkan sebuah lagu berjudul “Bersama Akhirnya”, rata-rata fanatika yang hadir turut sing-along dan begitu merindukan lagu yang diakui oleh Ziana Zain yang sudah sekian lama tidak didendangkannya. Tidak puas hanya sebuah lagu, ramai yang meminta lebih namun beliau tidak mahu menghampakan permintaan peminatnya, Ziana akhirnya ‘belanja’ sedikit rangkap lagu “Puncak Kasih” dan “Berpisah Jua” serta meminta peminat menyambung bait lirik lagu tersebut.

Ternyata memang ramai merindui kemunculan Ziana Zain setelah hiatus sekian lama. Tetap hebat dengan vokal padu bernada tinggi, masih kekal carta tertinggi dalam hati setiap peminat setia yang tidak sabar menantikan konsert pada 25 Mei itu nanti sebagai lambang perjuangan Ziana Zain selama 3 dekad bergelumang dalam industri seni.

Terus gah dihormati dan disegani sebagai ikon seni yang memiliki vokal ‘trademark’ tersendiri, sehinggakan apabila beliau mula menyanyi secara automatis vokalnya dapat dikenali hanya pada note yang pertama, begitu sekali penangannya. Majlis petang itu kemudiannya diserikan dengan cabutan bertuah dan kemudian bermulalah acara Autograph Session. Peluang untuk bersua muka, bersuafoto dan mendapatkan tandatangan eksklusif pada merchandise seperti cakera padat, poster, majalah, kad foto dan apa saja koleksi peribadi mereka.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk merealisasikan konsert ini, Kak Gee tidak melihat pada berapa besar pulangan yang akan diperolehi tetapi sangat terperinci mengenai konsep, stamina serta kepuasan yang bakal dihadiahkan buat para peminat Kak Gee kelak.” Sambil tersenyum bangga, beliau menyambung “Paling penting adalah kesihatan, kedua adalah stamina, ketiga adalah latihan dan keempat kita serahkan pada stylist kita. Apa yang paling penting mesti semuanya dalam keadaan sihat tubuh dan jiwa, baru semua perancangan menjadi. Semoga kita semua diberi kesihatan yang baik.” Ujarnya lagi.

Bersama akhirnya kita Menadah Gerimis untuk ke Puncak Kasih Ziana Zain di Sangkar Cinta yang Melara Jiwa dengan membeli tiket menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/zianazain Jom segera beli tiket, jangan sampai anda yang rugi. Pastinya konsert solo Ziana Zain kali ini sangat teristimewa dan bakal meninggalkan Syurga Di Hati Kita.