JAKARTA – Selepas dua tahun menanti, penyanyi bersuara emas, Ziva Magnolya, akhirnya melancarkan album keduanya yang diberi judul Merangkai. Album yang diterbitkan di bawah label Universal Music Indonesia ini mengetengahkan genre Pop RnB, genre yang diakui Ziva amat dekat di hatinya.
“Album ini benar-benar mencerminkan diri saya. Sejak dahulu lagi saya sangat ingin menghasilkan album Pop RnB kerana saya amat menyukai muzik genre ini. Jadi boleh dikatakan, album ini benar-benar saya,” kata Ziva.
Dari segi tema, Ziva masih membawa kisah cinta namun dengan pendekatan yang lebih pelbagai dan mendalam. Setiap lagu dalam album ini dihasilkan untuk saling berkait dan membentuk sebuah naratif yang utuh.

Album Merangkai mengandungi sembilan buah lagu, termasuk tiga yang telah dilancarkan sebagai single terdahulu iaitu “Abadi”, “Wanita Biasa” dan “Cukup”. Ketiga-tiga lagu ini mendapat sambutan luar biasa daripada peminat muzik di Indonesia.
Menambahkan lagi kekuatan album ini, Ziva turut berkolaborasi dengan beberapa produser muzik terkenal tanah air. Antara kolaborasi yang paling dinantikan ialah lagu duet bersama Kaleb J berjudul “Against All The Odds”, yang telah lama dinanti peminat sejak 2021.
“Bekerjasama dengan produser hebat tanah air adalah satu penghormatan besar buat saya. Saya belajar banyak daripada mereka, dari aspek teknikal muzik hinggalah kepada selok-belok industri muzik,” ujar Ziva lagi.
Dari sudut visual, Ziva mempersembahkan sentuhan eksklusif hasil kolaborasi bersama artis visual Diela Maharanie, yang dikenali dengan gaya berwarna-warni dan berkarakter. Ziva turut menghasilkan video muzik untuk lagu “Kata Kata” serta video lirik untuk beberapa lagu lain. Elemen ‘seram manja’ turut diselitkan, termasuk kemunculan watak ‘hantu’ dengan pendekatan yang tetap menghiburkan. Semua visual ini diterbitkan oleh Athea Visual dan diarahkan oleh Ivan Saputra Alam.
“Ceritanya ringkas tapi menarik. Tentang cinta yang belum kesampaian dari perspektif orang yang ‘ghosting’ orang lain,” jelas Ziva, yang turut dikenali sebagai Queen of Riff and Runs.
Mengakhiri pelancarannya, Ziva menyatakan harapan agar Merangkai dapat diterima ramai dan menjadi teman harian buat para pendengar. Album ini kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.