July 27, 2024

KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid yang ditubuhkan pada tahun 2020, Zawfan dianggotai Yasir Tamizi, Fadzli Radzi dan Hafiz Tamizi yang juga merupakan vokalis utama kumpulan nasyid Mirwana.

Lahir dari kerinduan mereka pada lagu-lagu dakwah yang hanya dihasilkan menggunakan 100 peratus pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan.

Membesar dengan irama lagu-lagu nasyid seperti Raihan, Nadamurni dan TheZikr, bagi mereka nasyid klasik yang disampaikan sekitar tahun 90-an sangat sederhana, namun ia berjaya dihayati masyarakat.

Disebabkan Zawfan menghasilkan lagu-lagu nasyid yang menggunakan pergendangan, ramai yang menganggap Zawfan meniru kumpulan nasyid popular Raihan.

Menurut pengasasnya Hafiz Tamizi, Mereka menafikan bahawa Zawfan meniru kumpulan Raihan tetapi mereka berusaha untuk meneruskan legasi kumpulan tersebut.

“Saya pun ada juga terbaca komen-komen nitizen yang mengatakan Zawfan ini meniru kumpulan Raihan, di sini saya tegaskan yang kami tidak mampu untuk meniru Raihan tetapi untuk meneruskan kami bisa,” ujar Hafiz.

Tidak sarat, hanya berbekalkan lirik yang jelas dan melodi yang ringkas, nyanyian yang sederhana, suara latar berharmoni serta iringan alat kompang dan pergendangan sahaja, namun ia mampu membawa mesej keagamaan, ketuhanan, kemanusiaan dan kerohanian dengan sangat mengesankan masyarakat.

Ia juga merupakan salah satu resepi tercetusnya era kegemilangan nasyid di Malaysia yang menjadi fenomena umat Islam seluruh dunia. Pandangan ini turut dikongsi oleh sebahagian besar penggiat, pemuzik, pemerhati, dan peminat nasyid tanahair.

Jelas Hafiz lagi, pendengar lebih selesa melabelkan lagu dihasilkan menggunakan pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan dipanggil nasyid tetapi lagu-lagu dakwah yang mengguna alat bertali atau alat muzik moden dilabel sebagai lagu relegi.

“Zawfan ingin mengembalikan semula irama nasyid klasik seperti yang dibawa oleh Raihan, Nadamurni dan TheZikr. Akar nasyid dipegang oleh mereka ini dan ianya berbeza dengan Mirwana yang lebih kontemporari.” Katanya.

Sebelum ini Zawfan telah melancarkan single pertama ZAWFAN bertajuk “Rasul Kita” pada pertengahan tahun 2021, tetapi promosi tersebut terhenti disebabkan pandemik Covid-19.

Mesejnya sangat tepat dengan keadaan semasa di mana masyarakat sedang dilambakkan dengan adiwira-adiwira cereka dari Marvel Cinematic Universe (MCU) dan DC Universe (DCU).

Sambil berhibur dan terpesona dengan karya fiksyen begitu, bagi masyarakat Islam perlu ada peringatan bahawa adiwira-adiwira sebenar ialah para nabi dan rasul kita yang disebut nama- nama mereka di dalam kitab Al-Quran yang didatangkan hadir dikalangan manusia pada zaman dan waktu tertentu memberi peringatan, menyelamatkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, dari kejahilan kepada kebijaksanaan, dari kepalsuan kepada kebenaran.

“Rasul Kita” adalah merupakan sebuah lagu nasyid asuhan yang ditujukan kepada anak-anak. Liriknya mengingatkan nama-nama nabi dan rasul serta mengajak agar sama-sama menghayati dan mengambil pengajaran, iktibar dan teladan dari kisahnya. Inspirasinya memang dari lagu “25 Rasul” dendangan Raihan.

“Rasul Kita” adalah ciptaan Hafiz Tamizi, diterbitkan oleh ZAWFAN dan diedarkan secara digital oleh Inteam Records. Kini boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music dan boleh didengari di IKIMFM, ZAYAN dan radio-radio tempatan yang lain.

Pada awal 2020, ZAWFAN mula mengorak langkah pertama di media sosial bergerak dengan tanda pagar #RinduNasyid dengan merakamkan semula video-video nasyid nostalgia secara acapella atau iringan perkusi di laman Facebook rasmi ZAWFAN.official.

Rasul Kita – Zawfan (Official Music Video)