KUALA LUMPUR – Dunia muzik tanah air terus berkembang dengan kehadiran lagu baharu yang penuh semangat, I’m A Rebel! hasil kolaborasi unik antara penyanyi Kat Roshan dan Asyraf Nasir.
Menariknya, muzik video yang mengiringi lagu “I’m A Rebel” itu mempunyai elemen antarabangsa di mana ia “difilemkan” di London, United Kingdom di mana Kat Roshan sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang “Criminology” di University College London (UCL).
Lagu ini membawa mesej kebebasan, keyakinan diri, dan keberanian untuk menentang halangan, sambil menonjolkan semangat pemberontakan yang positif dalam menghadapi cabaran hidup.
Kat Roshan, yang terkenal dengan vokal mantapnya dan imej berani, serta Asyraf Nasir, penyanyi dan penulis lagu yang berbakat, bergabung tenaga untuk menghasilkan karya yang berbeza dari segi bunyi dan lirik.
Lagu I’m A Rebel! hasil ciptaan RADi dan Jaysontxp, manakala lirik oleh Asyraf Nasir, Adam E dan Kat Roshan menggabungkan elemen pop moden dengan sentuhan elektronik yang segar, menghasilkan irama yang energetik dan mudah diingati.
Kat Roshan menyatakan, lagu ini adalah cerminan diri bagi mereka yang berani menjadi diri sendiri tanpa takut dihakimi.
“I’m A Rebel” adalah mengenai keselesaan menjadi diri sendiri dan tidak mengambil peduli apa yang orang lain fikirkan. Tidak kira apa yang orang katakan, anda tetap menjadi diri yang sebenar.
“Saya mahu pendengar kita boleh berhubung dengan diri mereka sendiri yang mana terdapat ‘pemberontak’ dalam setiap seorang daripada kita. Jadi, kena berhati-hati mengenainya dan bertanggungjawab.
“Saya juga harap pendengar dapat merasakan semangat bebas dan kekuatan untuk menghadapi apa sahaja rintangan. Biarpun lagu ini dwi-bahasa termasuk tajuk dalam bahasa Inggeris, tetapi kebanyakan lirik dalam bahasa Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama dengan Asyraf, Kat berkata ia satu pengalaman yang cukup berharga.
“Bekerja dengan Asyraf dalam video muzik sangat menyeronokkan dan menarik. Daripadanya, saya belajar bagaimana untuk benar-benar menerima seni saya di hadapan mata umum.
“Asyraf, Toby, penerbit dan videographer kreatif dan juga kawan rapat saya di universiti, membawa beg seberat 15kg ke stesen London hanya untuk satu babak.
“Saya juga mempunyai empat rakan dari kursus sama di universiti yang turut memainkan watak dalam video muzik ini. Mereka benar-benar hebat dalam kehidupan sebenar dan saya bersyukur mereka meluangkan sedikit masa untuk ini walaupun jadual mereka padat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru tarian peribadi saya, Sarah Jane kerana membuat koreografi tarian. Pada masa sama, kami benar-benar harus memberi kredit kepada RADi, Adam E dan Jayson,” katanya.
Sementara itu, Asyraf Nasir berkata, kerjasama dengan Kat Roshan adalah satu pengalaman yang hebat.
“Kami ingin lagu ini bukan sahaja memberi hiburan, tetapi juga inspirasi kepada semua pendengar untuk bangkit dan menjadi ‘pemberontak’ dalam mengejar impian mereka.
“Dari segi penghasilan lagu ini pula sangat menarik. Kami teruja dan meneroka begitu banyak bunyi dan gaya yang berbeza, kerana kami mahu melakukan segalanya. Tetapi ia adalah satu proses, jadi kami mengambil langkah demi langkah.
“Kalau nak tahu, separuh kedua lagu ini, sebenarnya adalah genre yang sama sekali berbeza. Saya fikir selepas beberapa minggu memikirkan idea itu, kami mahu berseronok dan melepaskan diri.
“Dance Pop adalah sesuatu yang saya dan Kat suka, itulah sebabnya kami baru sahaja mencuba pendekatan yang berbeza untuk korus dan instrumen lain. Kami benar-benar harus memberi kredit kepada RADi & Jayson untuk itu, kerana mereka adalah maestro yang mempunyai banyak pengetahuan muzik untuk menghidupkan lagu ini,” katanya.
Lagu I’m A Rebel! kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube. Video muzik rasmi juga sudah dilancarkan, menampilkan visual yang mencerminkan konsep kebebasan dan ekspresi diri yang kreatif.
Dengan gaya yang berbeza dan mesej yang mendalam, lagu I’m A Rebel! dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat muzik tempatan. Lagu ini adalah bukti bahawa kolaborasi antara dua artis berbakat ini mampu melahirkan karya yang penuh impak dan inspirasi.