KUALA LUMPUR, 14 Julai 2025 – Selepas hampir dua dekad mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi bersuara lunak, Misha Omar akhirnya mengotakan janjinya untuk menganjurkan sebuah konsert berskala besar yang diberi judul DiA Misha Omar, bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 29 November 2025.
Konsert anjuran Double M Production dengan kerjasama Altus Prohouse sebagai pengurus konsert ini bakal menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan seni Misha selama lebih 20 tahun. Ia juga merupakan lanjutan momentum kejayaan konsert Back To Basic yang dilangsungkan tahun lalu.
Bukan Sekadar Konsert – Tapi Sebuah Riwayat Seni
Berbeza dengan konsert showcase yang lalu, DiA Misha Omar bukanlah sekuel atau kesinambungan semata. Sebaliknya, ia ditampilkan sebagai sebuah keraian penuh makna — meraikan seni, karya dan cinta Misha terhadap muzik serta peminat yang setia menyokongnya selama ini.

“Konsert ini bukan hanya tentang saya. Ia tentang perjuangan saya sebagai penghibur, tentang kepercayaan yang diberikan oleh peminat walaupun saya tidak pernah ada kelab peminat rasmi. DiA Misha Omar adalah sejarah yang saya ingin cipta bersama semua,” kata Misha, 43, penuh emosi.
Bermula dengan kelahiran single baharu berjudul Break, penyanyi Bunga-Bunga Cinta ini menambah keterujaan peminat apabila secara rasmi mengumumkan lokasi dan tarikh konsert tepat pada tengah malam, sebulan lalu di Instagram beliau.
“DiA” Sebuah Penceritaan Tentang Muzik dan Perjalanan Hidup
Pemilihan nama DiA Misha Omar disifatkan ringkas namun padat makna. Ia membawa pengertian mendalam terhadap setiap fasa perjalanan seni penyanyi kelahiran Kelantan ini – merangkumi suka duka, jatuh bangun serta titik-titik perubahan yang dilaluinya sepanjang bergelar anak seni.

Menurut Miselyn Yee Siew dari Altus Prohouse, pihaknya menjanjikan sebuah persembahan penuh kualiti dengan susunan muzik dan pengalaman pentas yang berbeza daripada mana-mana konsert Misha sebelum ini.
“Kami akan pastikan pengalaman yang bakal dirasai penonton bukan sekadar biasa. Ia bakal menjadi momen istimewa yang akan dikenang – eksklusif hanya di DiA Misha Omar,” katanya.
Tiket Mula Dijual 25 Julai – Pelbagai Kategori Termasuk Royal Twin Seat
Tiket DiA Misha Omar akan mula dijual pada 25 Julai 2025, jam 10 pagi menerusi laman rasmi https://jiotix.asia/events/dia-misha-omar, dengan harga bermula daripada RM288 (Silver) hingga RM1,200 (VIP 1 dan Royal Twin Seat). Tujuh kategori tiket ditawarkan iaitu Silver (RM288), Gold (RM388), Platinum (RM488), Diamond (RM588), VIP 2 (RM688), VIP 1 (RM1,200) dan Royal Twin Seat untuk dua orang (RM1,200). Bagi pembeli tiket VIP 1, mereka akan menerima pas istimewa untuk sesi Meet & Greet serta Soundcheck bersama Misha Omar.
Pembelian tiket bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) pula boleh dilakukan secara terus melalui WhatsApp hotline di talian +6011 1660 1122.
Misha Omar telah menyempurnakan janji dengan menetapkan tarikh, lokasi dan konsep konsert. Kini, tibalah giliran peminat memainkan peranan — hadir dan menyaksikan sendiri detik bersejarah DiA Misha Omar yang bakal terpahat dalam lipatan sejarah industri muzik Malaysia.