ABOI Tak Pernah Hilang, Cuma Tunggu Masa Sesuai

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025 — Setelah lama menyepi daripada pentas muzik tempatan, kumpulan ska punk Aboi kini kembali menghidupkan semula rentak mereka dengan semangat baharu, menerusi kemunculan eksklusif di Festival Aku, Muzik & Kamu yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Julai ini di Sepang International Circuit.

Vokalis dan gitaris utama kumpulan, Mohd Rauzi Mohd Desa atau dikenali sebagai O.G, menegaskan bahawa kemunculan semula ini bukanlah satu kebetulan, tetapi hasil daripada perancangan rapi dan pemilihan masa yang tepat.

“Kita dah bersedia, dan kita rasa ini masa paling sesuai. Komitmen pun kita dah setelkan,” ujar O.G dalam sesi temu ramah eksklusif bersama media baru-baru ini.

Lebih menarik, kumpulan yang pernah mencipta nama sekitar penghujung 90-an ini akan memperkenalkan single baharu mereka secara eksklusif pada hari persembahan, di samping menyampaikan hadiah istimewa — sebuah gitar khas untuk salah seorang peminat bertuah.

OG penyanyi dan pemain gitar Aboi

Album Tertangguh, Konsert Akustik Dalam Perancangan

O.G turut berkongsi tentang projek album mereka bertajuk ABoi Acoustic yang tergendala akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Album tersebut kini dirancang untuk direalisasikan dalam bentuk konsert akustik secara langsung — memenuhi permintaan peminat terhadap sisi muzik Aboi yang lebih santai dan mendalam.

“Kita dah plan buat konsert solo akustik sebelum PKP, tapi semua terhenti. Jadi sekarang ni kita sambung balik apa yang tergendala,” jelas O.G.

Lineup Asal Kembali, Dibantu Pemuzik Undangan

Kemunculan semula Aboi juga menyaksikan kembalinya barisan asal mereka yang aktif sekitar tahun 1999–2000. Menambah kekuatan persembahan mereka nanti, O.G mendedahkan kehadiran pemuzik undangan Jac dari kumpulan legenda FTG sebagai tenaga tambahan.

“Lineup asal dulu ada Ojan, tapi dia undur sebab komitmen masa tu. Sekarang ni kita lengkapkan semula dan dibantu oleh Jac FTG,” katanya.

Selain O.G, Aboi dianggotai oleh Oja (Kamru Zaman Yunos) Bass dan Ojai (Mohd Rozaimi Mohd Desa) Dram.

Rekod Unik: “Duit” Lagu Terpendek Di Malaysia

Salah satu kejayaan ikonik Aboi adalah lagu mereka berjudul “Duit”, yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai lagu terpendek di Malaysia — berdurasi hanya 1 minit 59 saat. Lagu ini masih dibawakan dalam versi asal setiap kali persembahan, mengekalkan identiti ringkas dan padat yang menjadi trademark kumpulan.

“Masa mula-mula masuk album pun sebab tak cukup lagu. Tapi lagu ni jadi fenomena,” cerita O.G sambil tersenyum.

Urus Sendiri, Lebih Matang & Berani

Menurut O.G, Aboi kini menguruskan segala aspek produksi, promosi dan persembahan mereka secara berdikari tanpa bergantung kepada syarikat rakaman.

“Dulu mungkin kita senyap bukan sebab tak buat kerja, tapi sebab team promotion tak jalan. Sekarang kita buat semua sendiri. Kita lebih berani sebab kita dah tahu langkah-langkah yang perlu.”

Aboi turut merancang untuk menerbitkan lima lagu baharu yang akan dimuatkan dalam album penuh dalam bentuk digital dan fizikal, termasuk CD dan kaset — sebagai penghargaan buat peminat setia.

Selamba Aje… 2.0, Sabah Jadi Destinasi Pertama?

Menyentuh mengenai perancangan masa depan, O.G berkongsi hasrat untuk mengadakan semula tour ‘Selamba Aje…’, yang kali terakhir diadakan di Sabah pada tahun 2010.

“Mungkin kita akan mulakan dari Sabah semula, sebab ramai peminat kita di sana yang masih beri sokongan,” katanya.

Dari “Sempoi” Jadi “Aboi”

Mengulas tentang asal-usul nama kumpulan, O.G mendedahkan ia berasal daripada respons spontan rakan-rakan yang menyifatkan muzik mereka sebagai “simple”.

“Nama asal nak letak Gen X, tapi ramai kata tak sesuai. Bila ramai kata lagu simple atau dulu panggil sempoi je, kita ambil A untuk ‘Aku’, B untuk ‘Budak’, dan akhir sekali ‘Sempoi’ — jadi Aboi,” selorohnya.

Aboi bakal menjayakan Festival “Aku, Muzik & Kamu”

30 Minit Yang Penuh Makna Di Sepang

Festival “Aku, Muzik & Kamu” bukan sekadar pentas biasa buat Aboi — ia adalah simbol kebangkitan semula mereka yang telah lama ditunggu. Dalam slot persembahan berdurasi 30 minit, Aboi berjanji akan menghidangkan persembahan bertenaga, penuh nostalgia dan kejutan, termasuk pelancaran single baharu dan hadiah buat peminat.

Bagi yang ingin menyaksikan kebangkitan semula kumpulan ikonik ska punk tanah air ini, Sepang International Circuit adalah tempatnya. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini!