“Akhirnya Kamu” – Simbol Cinta dan Ketabahan Bella Astillah & Daniesh Suffian

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2025 – Dua figura seni yang sedang meningkat dalam industri hiburan tanah air, Bella Astillah dan Daniesh Suffian, tampil dengan kolaborasi istimewa menerusi single duet terbaharu berjudul “Akhirnya Kamu”. Lagu ini membawa mesej mendalam tentang kebahagiaan, ketulusan dan kesabaran dalam menempuh kehidupan serta percintaan.

Lagu tersebut merupakan hasil kerjasama kreatif antara Bella, Daniesh serta komposer tersohor Azlan Abu Hassan dan Omar K, yang berjaya menghasilkan sebuah karya penuh emosi dan keindahan melodi.

Menurut Bella, “Akhirnya Kamu” mempunyai makna istimewa dalam kehidupannya.

“Lagu ini memberi impak besar dalam hidup saya kerana seolah-olah sebahagian diri saya dizahirkan melalui lagu ini. Ia juga menjadi lagu manis saya sendiri — tanda penghargaan kepada peminat yang sering meminta saya bawakan lagu yang membahagiakan,” katanya.

Tambah Bella, proses rakaman bersama Daniesh berjalan dengan sangat lancar.

“Daniesh memahami suara dan cita rasa saya. Kami bekerjasama secara profesional untuk memastikan hasil akhirnya terbaik, dan kami amat berpuas hati dengan keputusan akhir,” ujarnya.

Bagi Bella, “Akhirnya Kamu” juga membawa mesej penting tentang kesabaran dan kepercayaan terhadap perjalanan hidup.

“Hidup tidak selamanya sedih. Sama ada sesuatu datang cepat atau lambat, kesabaran itu penting. Kebahagiaan bermula apabila kita percaya setiap ujian adalah cara untuk menjadikan kita lebih kuat dan membuka ruang kepada orang yang betul untuk hadir dalam hidup kita.”

Dalam pada itu, Bella turut mengakui lagu ini sedikit berbeza daripada imej biasa yang sering dibawanya.

“Kebiasaannya saya nyanyi lagu yang fierce, tapi kali ini saya cuba sesuatu yang lebih ringan dan manis — khas untuk peminat yang mahukan lagu berunsur positif dan bahagia.”

Sementara itu, Daniesh Suffian mendedahkan idea penghasilan “Akhirnya Kamu” tercetus daripada permintaan peminat yang menginginkan lagu duet rasmi antara mereka berdua.

“Sebelum ini kami banyak buat cover lagu bersama, jadi ramai yang minta kami hasilkan lagu sendiri. Dari situ, idea ‘Akhirnya Kamu’ mula berkembang,” jelasnya.

Menurut Daniesh lagi, lagu ini ditulis ketika Bella berdepan detik sukar dalam hidupnya.

“Tujuan utama saya menulis lagu ini adalah untuk memberi semangat, sokongan dan sedikit keceriaan buat Bella agar terus kuat menghadapi cabaran,” katanya.

Daniesh turut berkongsi pengalaman bermakna ketika penggambaran muzik video (MV) lagu ini.

“Rakaman MV sangat menyeronokkan. Semua kru dan pelakon tambahan sangat sporting, lokasi cantik, shot menjadi, dan pasukan produksi sangat profesional. Hasil akhirnya melebihi jangkaan saya.”

Muzik video “Akhirnya Kamu” menggambarkan kisah dua insan yang pernah terluka dan menutup pintu hati selepas pengalaman cinta lalu, namun akhirnya menemukan cinta sejati yang mereka cari selama ini.

Bagi kedua-dua artis ini, “Akhirnya Kamu” bukan sekadar lagu cinta, tetapi simbol kekuatan, harapan, dan penghargaan terhadap perjalanan hidup — bahawa setiap luka dan kesabaran pasti membawa kepada sinar yang dinanti.

Single “Akhirnya Kamu” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, manakala muzik videonya dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Universal Music Malaysia.