Bella Astilah muncul single ‘Tapi Bukan Denganmu’ 

KUALA LUMPUR – Bella Astilah, nama yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air, terus menempah nama sebagai penyanyi dan pelakon meskipun berdepan pelbagai cabaran peribadi. Terbaru, Bella muncul dengan single terbaru berjudul ‘Tapi Bukan Denganmu’, sebuah karya istimewa ciptaan komposer terkenal Sharon Paul, dengan lirik yang ditulis sendiri oleh Bella.

“Lagu ini sangat dekat dengan hati saya. Liriknya adalah hasil penulisan saya sendiri, jadi ia membawa makna yang cukup mendalam. Lebih istimewa, saya berpeluang bekerjasama dengan Sharon Paul, seorang komposer yang berpengalaman luas dalam industri muzik,” ujar Bella ketika ditemui baru-baru ini.

Bella yang sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama TV, sempat berkongsi keseronokan dan keselesaan bekerjasama dengan Sharon Paul. Baginya, pengalaman bekerja bersama komposer senior seperti Sharon merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai.

“Bella sangat selesa bekerja dengan Kak Sharon. Dia seorang yang sangat terbuka dan sentiasa mendengar pandangan saya. Apa sahaja permintaan Bella, dia turuti. Kak Sharon sentiasa memberi bimbingan sepanjang proses rakaman dan menerima segala kekurangan saya sebagai penyanyi. Ini adalah satu sebab saya suka bekerja dengan orang yang sudah lama dalam industri, mereka sangat profesional dan tahu bagaimana menjaga mood kita di studio,” jelas Bella.

Proses Rakaman dan Penulisan Lirik

Menyentuh tentang proses rakaman, Bella mengakui ia berjalan lancar walaupun terdapat beberapa kali perubahan pada lirik. “Dari segi gaya dan melodi, Kak Sharon memang memahami apa yang saya mahukan. Proses penulisan lirik mengambil masa yang agak lama kerana saya sering menukar lirik. Namun, akhirnya kami berjaya menyiapkan lagu ini,” kata Bella dengan senyuman.

Tambah Bella, kerjasama erat dengan Sharon telah membuahkan hasil yang memuaskan hati. “Kak Sharon berjaya menyesuaikan melodi dengan keinginan saya, menjadikan lagu ini betul-betul seperti yang saya bayangkan.”

Video Muzik Diarah Sendiri

Lebih menarik, Bella bukan sahaja memberi sentuhan peribadi dalam penulisan lirik, malah dia juga terlibat secara langsung dalam penghasilan video muzik untuk lagu ‘Tapi Bukan Denganmu’. Bella bertindak sebagai pengarah video muzik tersebut, dengan hasrat untuk memastikan emosi yang terkandung dalam lagu sampai kepada para penonton dan pendengar.

“Saya nak pastikan mesej lagu ini dapat disampaikan dengan baik. Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati para pendengar, terutamanya mereka yang pernah melalui pengalaman sama. Semoga ia menjadi lagu galau yang mampu mengusik perasaan,” tambah Bella.

Single ‘Tapi Bukan Denganmu’ kini boleh didapati di semua platform digital, sementara video muziknya sudah boleh ditonton di YouTube sejak 4 Oktober lalu. Lagu ini diharap mampu menambah lagi deretan kejayaan Bella dalam industri muzik tempatan.