December 4, 2024

Pemenang Kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki) AIM23 harap karyanya tidak dipandang sepi

KOTA KINABALU : Siapa sangka seorang pemuda berusia 31 tahun membesar di sebuah keluarga seni di Daerah Tambunan, Sabah, dimana ibunya seorang guru muzik yang bertanggungjawab dalam mendedahkannya dengan permainan alat muzik sehingga beroleh kejayaan yang tidak disangka di dalam sebuah anugerah yang penuh gilang-gemilang.

Arddley Nicholas seorang pendatang baharu dalam industri seni hiburan tanahair, mengenepikan nama-nama besar seperti Hafiz Suip, Syamel dan Alif Satar dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki) pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik (AIM23) yang lalu. Penyanyi ini membuktikan populariti bukan segala-galanya. Dia diumumkan sebagai penerima kategori vokal lelaki terbaik menerusi lagu berjudul Pilu.

Arddley yang ditawarkan oleh penyanyi Juwita Suwito untuk menandatangani kontrak edaran lagu-lagunya bersama studio Juwita 440 Records, akhirnya menjadi satu titik permulaan di mana lagu hasil ciptaannya berjaya menembusi masuk ke dalam Anugerah Industri Muzik (AIM23).

“Apabila diumumkan saya tercalon dalam ‘Top 5 kategori Vokal Terbaik Lelaki’, saya melompat gembira dan tidak percaya, sebab dengan hanya tercalon di dalam lima terakhir pun, saya anggap ini merupakan satu kemenangan terbesar buat saya”. Ujar Arddley.

Dia begitu teruja untuk menghadiri malam anugerah yang berprestij itu di mana selama ini dia hanya dapat menyaksikan majlis tersebut hanya di kaca televisyen sahaja.

“Saya teruja dan takut apabila terlalu memikirkan soal pakaian yang perlu saya pakai. Sebenarnya saya hampir tidak dapat menghadirkan diri disebabkan tema pakaian adalah Glam and sophisticated. Saya tidak mempunyai pakaian sepertimana yang diumumkan, namun atas tajaan dari pihak Elizabeth Hor, mereka telah menyediakan semua dan saya sangat berterima kasih kepada mereka”. Katanya.

Arddley Nicholas harap karyanya tidak dipandang sepi

Dia yang mengalami masaalah keresahan atau Anxiety Disoder semenjak kecil lagi berusaha melawan penyakit ini dengan menghasilkan lagu-lagu sebagai terapi diri bagi mengurangkan penyakit yang sedang dihadapinya ini. Sehingga kini dia masih lagi berjuang untuk memperbaiki diri agar lebih berkeyakinan serta mampu mengawal masaalah keresahan ini.

“Saya dari kecil memang mengalami satu masalah keresahan (Anxiety) yang teruk di mana saya sangat takut untuk membuat persembahan di hadapan penonton, malah hanya disuruh guru kelas membaca buku teks di bilik darjah yang kecil pun saya boleh sesak nafas dan menyebabkan pitam serta pengsan. Guru kaunseling sekolah saya sangat membantu.” Jelasnya lagi.

Kejayaannya menerusi lagu Pilu membuktikan bahawa interpretasi terhadap karya-karya bebas atau indie bukan lagi suatu karya yang harus dipandang sepi, malah karya sebegini yang mampu menerobos pasaran antarabangsa.

Terdahulu, Arddley memulakan langkah sebagai seorang pemain keyboard telah menubuhkan sebuah band bernama Dominant 5 dan menyertai sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh Yamaha Music. Dia berpeluang berkolaborasi bersama seorang pemuzik dan komposer tanah air Aubrey Suwito. Dominant 5 mewakili Malaysia di dalam sebuah pertandingan Asian Beat yang diadakan di Negara Japan, dimana mereka berjaya meraih tempat ketiga di dalam pertandingan tersebut. 

Pada tahun 2018, Arddley mengorak langkah bersama rakannya bernama Bernadine Soubine atau Bern merancang untuk menyanyi lagu hasil ciptaannya sendiri. Bern bertanggungjawab di dalam susunan muzik maka terhasil single pertamanya dalam bahasa Inggeris berjudul Break Free. 

Disebabkan terlalu naif tentang selok belok industri muzik di sabah, single lagu Break Free kurang mendapat sambutan pendengar setempat.

“walaupun saya agak kecewa, namun ada juga yang memberi kata-kata semangat dan positif tentang penghasilan lagu tersebut, walaupun hanya sedikit maklum balas yang saya terima, tetapi itulah yang membakar semangat kami untuk terus menghasilkan karya-karya yang bermutu”. Kata Arddley yang menyingkap kisah silamnya.

Kemenangannya di AIM23 menjadi pembakar semangat untuk Arddley terus menonjolkan diri dalam industri

Bermula dari pengajaran yang dia lalui, Arddley mulai menghasilkan lagu di dalam Bahasa Melayu pada tahun 2018 berjudul Bersamaku, seterusnya pada tahun 2019 dia menghasilkan lagu Nafas dan pada tahun 2021 lagu kemenangan di AIM berjudul Pilu telah dihasilkan serta sebuah lagu dalam Bahasa Dusun, sebuah kolaborasi bersama dengan pemenang Big stage Elica Paujin yang berjudul Sonsodo.

“Saya masih dalam proses untuk menjadi lebih kuat dan cuba mengawal masaalah keresahan saya yang teruk, tekanan pertandingan amat berat buat saya, untuk masa ini saya lebih selesa untuk menghasikan dan mencipta lagu-lagu ‘original’ saya.

“Saya cuma pernah menyertai dua pertandingan nyanyian sahaja dalam hidup saya, pertama, saya menyertai Sabah Talent dan menjuarai pertandingan tersebut. Kedua, pertandingan nyanyian lagu Bahasa Dusun iaitu Sugandoi di mana saya telah memperolehi tempat kedua serta Anugerah Vokal Terbaik”. Kata Arddley mengakhiri perbualan bersama Kelkatutv.

Arddley berharap kehadirannya dalam industri dapat diterima dan menyokong kariernya untuk menghasilkan lagi karya-karya yang terbaik.

 

PILU – Arddley Nicholas
Temu bual bersama Arddley Nicholas