Jerat Buragas: Dr. Kronik & Giegiel Bangkitkan Semangat Rock Tempatan

Sijangkang, 8 September 2025 – Warisan Hall Studio menjadi saksi kepada kemeriahan konsert “Jerat Buragas” yang menghimpunkan lebih 300 peminat setia rock tempatan. Dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, acara yang diadakan kelmarin, menampilkan dua nama besar yang pernah mewarnai industri muzik tanah air, iaitu Dr. Kronik dan Giegiel.

Menurut penganjur, Talib Othman, konsert ini dianjurkan bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi sebagai usaha untuk mengangkat semula nama band tempatan yang lama menyepi.

“Kami mahu generasi baharu tahu bahawa industri muzik kita punya band yang berkualiti dan pernah menjadi kegilaan ramai,” jelasnya.

Dr. Kronik

Dengan tiket berharga RM90, penonton disajikan sebuah persembahan penuh energi yang sukar dicari di tempat lain.

Dr. Kronik Panaskan Pentas

Malam bermula dengan Dr. Kronik yang membuka konsert melalui rangkaian 10 buah lagu hits mereka. Energi penonton terus menyala dengan lagu-lagu seperti “Zero Hero”, “Kapcai”, dan “Lagu Orang Gila”. Interaksi mesra bersama peminat menjadikan persembahan mereka lebih hidup.

Chi Dr. Kronik

Kemuncak persembahan hadir dengan lagu “Buragas”, “Hidup Hidup Di Bakar” dan penutup penuh emosi “Fanatik” yang turut dinyanyikan beramai-ramai oleh penonton. Kejutan istimewa diberikan apabila vokalis Chi mempersembahkan buat pertama kali lagu baharu mereka “Amuk Pasir Salak”, meninggalkan kesan mendalam kepada peminat.

Giegiel & Cabaran Kesihatan Vokalis

Selepas itu, giliran Giegiel mengambil alih pentas dengan deretan 13 buah lagu, antaranya “Genggam”, “Keris Berkarat”, “Tinggal Akhirnya”, “Penasaran” dan “Pudarnya Satu Nama”. Lagu popular seperti “Mencari”, “Pelita Hidup” dan “Cahaya” membangkitkan sorakan padu penonton.

Giegiel

Meskipun berdepan cabaran apabila vokalis utama, Ejam, hanya mampu menyampaikan hanya beberapa buah lagu sahaja akibat masalah kesihatan, persembahan tetap diteruskan dengan semangat apabila Alang SYJ tampil menggantikan tempatnya. Ejam, walau tidak dapat meneruskan nyanyian dan permainan gitar, tetap menunjukkan semangat dengan memberi sokongan dari belakang pentas.

Alang SYJ

Giegiel turut mempersembahkan lagu cover XPDC “Talam Dua Muka” serta menutup malam dengan kolaborasi bersama Dr. Kronik membawakan lagu ikonik Lefthanded, “Semangat Lamina”. Aksi terakhir ini menjadi penutup sempurna yang memuaskan hati penonton.

Rock Tempatan Masih Berbisa

Kejayaan “Jerat Buragas” membuktikan muzik rock tempatan masih memiliki tempat istimewa di hati rakyat Malaysia. Persembahan penuh kualiti daripada kedua-dua band ini, digabung dengan sokongan padu peminat, menjadikan konsert ini sebuah pengalaman yang sarat nostalgia dan nilai sentimental.

Lebih daripada sekadar hiburan, konsert ini mengukuhkan lagi kedudukan Warisan Hall Studio sebagai salah satu lokasi penting acara muzik di Sijangkang. Perbezaan aliran muzik antara Giegiel yang berteraskan groove metal dan Dr. Kronik dengan nu-metal bereksperimen menjadikan konsert ini unik serta seimbang.

Konsert “Jerat Buragas” akhirnya membuktikan – rock tempatan masih berbisa, masih hidup, dan masih ada pengikut setia.

Kredit Foto: Papa Din