Marygrace Dipilih Ikon Sabah Dalam Kempen Gawai & Kaamatan 2025 Bersama Pepsi

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2025 – Penyanyi muda berbakat besar, Marygrace, terus mencipta nama dalam industri muzik tanah air apabila diumumkan sebagai salah seorang ikon utama mewakili Sabah dalam Kempen Gawai & Kaamatan 2025 anjuran Pepsi dengan kerjasama TV Sarawak (TVS).

Kejayaan ini hadir selepas beliau dinobatkan sebagai juara Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) serta pelancaran single sulungnya, Titik Mula, yang kini tersenarai dalam Top 23 carta Hot FM Top 40.

Sebagai simbol semangat dan suara generasi baharu Borneo, Marygrace tampil bersama dua lagi artis berbakat – Belle Sisoski dari Sarawak dan Rezza Shah, bekas peserta CSOIAM – dalam menyampaikan lagu rasmi kempen berjudul “Happy Gawai Kaamatan” (Pepsi Harvest Celebration Anthem). Lagu ini merupakan karya ciptaan penuh Belle Sisoski dan mengetengahkan gabungan muzik pop kontemporari dengan elemen tradisional yang meraikan kekayaan budaya serta kegembiraan musim menuai masyarakat Dayak dan Kadazandusun.

“Saya rasa sangat terharu dan bangga dapat menjadi sebahagian daripada kempen ini. Ia bukan sekadar menyanyi, tetapi satu penghormatan untuk membawa semangat budaya Borneo kepada khalayak,” ujar Marygrace yang turut berkongsi pengalaman rakaman lagu tersebut di Maveriq Studio, Kuala Lumpur.

Tambahnya, cabaran utama ialah menyampaikan emosi yang tepat memandangkan lagu ini membawa makna mendalam buat komuniti Borneo. Marygrace turut menyatakan bahawa keserasian vokal antara tiga penyanyi dengan latar budaya berbeza menjadi antara aspek menarik sepanjang proses rakaman.

Video muzik Happy Gawai Kaamatan turut dirakam di lokasi ikonik sekitar Kuching seperti Sarawak Cultural Village dan Nanga Damai Homestay, yang memperlihatkan keindahan alam semula jadi serta warisan budaya masyarakat tempatan. Visual menarik ini memberi nafas segar kepada lagu perayaan, menjadikannya bukan sahaja hiburan, malah satu penghargaan visual terhadap warisan Borneo.

Marygrace juga dijadual membuat kemunculan khas sempena sambutan Pesta Kaamatan KDCA di Sabah, sekaligus mengukuhkan kehadirannya sebagai wakil suara muda Sabah yang versatil dan berpengaruh.

Selain terlibat dalam kempen budaya ini, Marygrace bakal naik pentas bersama empat finalis CSOIAM dalam “Here I Am Concert Malaysia” bersama Rossa yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025. Beliau turut dijadual membuat persembahan dalam Festival Tentang Cinta di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 9 Ogos 2025, bergandingan dengan artis ternama seperti Andmesh, Hael Husaini, Adira Suhaimi dan Ara Johari.

Dengan semangat budaya yang kuat, suara yang dinamik dan personaliti memikat, Marygrace membuktikan bahawa muzik mampu menjadi jambatan perpaduan yang merentas sempadan. Saksikan video muzik Happy Gawai Kaamatan di semua platform digital hari ini dan raikan semangat Gawai dan Kaamatan dengan penuh warna-warni budaya!