PUTRAJAYA, 12 Februari 2021 – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersedia bagi membantu mana-mana parti dari Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Ketua Pemuda PAS Putrajaya, Mohd Faizal Ibrahim berkata “berkenaan dengan jentera PAS, kami akan mengikut saranan dan arahan dari peringkat atasan mengikut kondisi di mana kami akan terlibat dalam membantu parti kami iaitu PAS yang akan bertanding di mana-mana kawasan yang ditentukan .” Jelas beliau.
Beliau juga tidak menolak untuk membantu mana-mana jentera parti samaada daripada PAS, Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional yang bertanding di mana-mana kerusi selagi mana arahan tersebut dikeluarkan oleh pucuk pimpinan parti.
“sudah semestinya jentera PAS akan bersedia dalam membantu rakan-rakan kami yang terlibat dalam pilihanraya yang akan diadakan nanti.” Katanya.
Terdahulu beliau ditemui media sempena program sumbangan bantuan ‘Back to School’ kepada warga kerja Bomba dan Penyelamat Putrajaya.
Program yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan telah diketuai oleh pemangku Ketua BERSATU Bahagian Putrajaya, Mohd Fathul Azam Mohd Hasim berkata “bantuan barangan sekolah, beg serta voucher keperluan sekolah bukan sahaja diberikan kepada petugas barisan hadapan tetapi juga penduduk sekitar Putrajaya. Saya juga berharap sumbangan ini dapat membantu penerima-penerima untuk meringankan beban mereka”. Ujar beliau.

Fathul Azam juga berterima kasih kepada Senator Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin selaku Menteri Kanan Pendidikan atas sumbangan yang telah dihulurkan ini. “Kami juga akan mengagihkan bantuan khususnya kepada masyarakat Tiong Hua yang telah menyambut perayaan Tahun Baru Cina pada bulan ini”. Tambah beliau.
Sebanyak 50 beg sekolah dan voucher telah disumbangkan dan disambut baik oleh Tuan Che Shaari Abdullah selaku ketua Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7, Putrajaya. Beliau juga memaklumkan bahawa Putrajaya telah mempunyai dua buah balai bomba dan penyelamat dimana balai yang terbaharu telah didirikan di Presint 14 yang telah beroperasi sepenuhnya pada 1 Februari 2021 yang lepas.
Sepanjang tempoh PKP ini, pasukan Bomba dan Penyelamat Putrajaya telah melakukan proses sanitasi awam atau nyah cemar dalam menghadkan kemerebakan virus COVID-19 yang telah disarankan oleh pusat kesihatan daerah.