October 25, 2024

KUALA LUMPUR- Primeworks Studios dan Metrowealth dengan bangganya mempersembahkan filem terbaru, Pontianak 200KGsebuah kesinambungan yang dinantikan daripada telefilem popular Pontianak 100KG. Selepas kejayaan luar biasa Pontianak 100KG dan menjadi pilihan nombor 1 di Tonton, filem ini dihasilkan untuk menghiburkan penonton dengan penceritaan yang lebih menarik dan lebih lucu, sekali gus memperlihatkan kemajuan industri perfileman tempatan melalui kerjasama yang erat antara produksi.

Pontianak 200KG diarahkan oleh Shuhaimi Lua dan menampilkan Aya Amiruddin sebagai teraju utama bersama Dottie. Ini merupakan filem pertama di mana Aya Amiruddin diberi peranan utama, satu tanggungjawab besar yang pastinya dinantikan oleh peminatnya. Filem Pontianak 200KG menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ziana Zain, Ropie, Niezam Zaidi, Wanns Ahmad, serta pelakon-pelakon lain seperti Malia Baby dan Shaf Naufas. Filem ini juga memperkenalkan Apich Lo sebagai salah satu watak utama, serta penampilan istimewa primadona Ziana Zain, yang pasti akan menjadi tumpuan setelah lama tidak beraksi di layar perak. 

Filem ini mengisahkan tentang Kampung Terbalik menjadi mangsa serangan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi yang mencari makanan kerana sentiasa kelaparan. Keadaan menjadi lebih huru-hara apabila penduduk kampung menyangka mereka adalah pontianak yang menghisap darah hingga menyebabkan ramai penduduk kampung koma! Kemunculan Bilal, lelaki ala Korea telah membuatkan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi jatuh cinta dan mula bersaing untuk menarik perhatian Bilal. Namun keadaan masih belum reda dan penduduk kampung masih menjadi mangsa serangan pontianak. Pak Akad, selaku ketua kampung menjadi semakin buntu untuk menghentikan jumlah penduduk yang semakin ramai koma. 

Proses penggambaran filem Pontianak 200KG telah dijalankan dengan teliti, dengan kebanyakan lokasi penggambaran bertempat di Ijok. Lokasi ini dipilih untuk memberikan latar yang tepat, sesuai dengan elemen seram komedi yang dihidupkan dalam filem ini.

Runut bunyi filem Pontianak 200KG ini juga adalah hasil kerjasama dengan Shiha Zikir Empire dan menampilkan buat pertama kalinya Aya Kamaruddin dalam dunia nyanyian. Lagu tema filem ini berjudul, “Naik Hantu,” yang dicipta sepenuhnya oleh Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K, bakal menjadi daya penarik yang memikat hati penonton. Dinyanyikan oleh Shiha Zikir dan Aya Amiruddin, telahpun dilancarkan di semua pelantar digital sejak 24 Julai 2024, manakala versi rock oleh Buck dan Awas akan menyusul pada 15 Ogos 2024. Pastikan anda tidak terlepas untuk menyaksikan muzik video “Naik Hantu” di YouTube Alternate Records & Talent tidak lama lagi.

“Pontianak 200KG merupakan hasil kerjasama menyeluruh antara Primeworks Studios dan Metrowealth, bertujuan untuk memperkayakan lagi genre dalam industri perfileman Malaysia. Dengan membawa elemen seram komedi yang segar, kami bukan sahaja menawarkan pengalaman baharu yang menghiburkan kepada penonton, tetapi juga membuka peluang bagi bakat-bakat baru untuk menyerlah dan berkembang dalam industri ini. Kami yakin bahawa usaha ini akan terus memacu perkembangan landskap perfileman tempatan, kata Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios. 

David Teo turut menambah, “Filem ini adalah bukti komitmen kami untuk terus menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang sesuai untuk seisi keluarga. Kami berharap Pontianak 200KG akan mendapat sambutan hangat , seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan filem komedi seram dalam industri perfileman tempatan.” 

Sementara itu, pengarah filem Shuhaimi Lua berkata, “Alhamdulillah, filem Pontianak 200KG merupakan permulaan bagi saya dan saya bersyukur telah diberikan kepercayaan oleh Primeworks Studios serta Metrowealth kerana meletakkan serta memilih saya sebagai pengarah bagi filem ini. Mengarah sesebuah filem merupakan salah satu impian saya dan saya berterima kasih kerana telah diberikan peluang itu. Filem Pontianak 200KG merupakan sebuah filem penanda aras buat saya untuk terus mengarah filem yang memberi hiburan dan manfaat kepada orang ramai.” 

Pontianak 200KG membawa kisah yang unik di mana Pontianak yang “comel” menjadi watak utama. Berbeza dengan stereotaip biasa, Pontianak dalam filem ini hanya lapar dan suka mengusik orang kampung dengan mencuri makanan mereka, menjadikan watak ini lebih mesra dan menghiburkan. Dengan tagline “Filem Komedi Paling Berat Abad Ini,” filem ini telahpun ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 5 September lalu.