October 16, 2024

Kira-kira 50 pemandu lori hadir membuat kejutan sebagai sokongan kepada stesen radio Suria FM sempena Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire yang berlangsung di perkarangan AEON Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Lebih menarik kesemua mereka hadir membawa lori masing-masing yang dihias lampu warna warni yang turut mencuri tumpuan pengunjung.

Wakil pemandu Nik Ahmad berkata, kesemua mereka hadir sebagai pendengar setia Suria FM terutamanya Suria Cinta kendalian DJ Lin.

“Kami semua memang pendengar Suria FM terutama Suria Cinta serta peminat DJ Lin jadi bila kami tahu ada jelajah kami hubungi pihak Yaya Empire untuk hadir sebagai sokongan. Syukur dapat jumpa sendiri dengan DJ Lin dan Puan Yaya yang sangat merendah diri dan sambut kita dengan baik,” katanya.

Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abd Majid atau mesra disapa DJ Lin berkata, dirinya terharu apabila dimaklumkan kumpulan pemandu lori itu hadir bagi memeriahkan jelajah yang diadakan.

“Tak sangka mereka sanggup hadir dengan membawa lori yang dihias cantik serta memeriahkan jelajah di Kota Bharu kali ini yang kali pertama diadakan. Kami di Suria FM juga terharu dengan sokongan yang diberikan malah mereka mengakui memang memutarkan Suria FM setiap kali memandu lori ke destinasi yang dituju,” katanya yang mengakui kumpulan pemandu lori antara pendengar setia Suria FM sejak dulu lagi.

Mengulas mengenai Suria Kuasa 2 Yaya Empire di negeri Cik Siti Wan Kembang, DJ Lin berkata ia istimewa kerana dijalankan secara serentak bersempena Hari Sukan Negara.

Dia menambah, menurut data daripada pihak AEON Kota Bharu, kehadiran pengunjung mencecah hampir 50,000 orang bagi kedua-dua hari jelajah di adakan iaitu pada Jumaat dan Sabtu lalu.

“Kami bersyukur dengan jumlah kehadiran dan sokongan pengunjung yang sangat meriah lebih-lebih lagi sempena Hari Sukan Negara dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSK). Setiap acara yang dianjurkan mendapat sambutan termasuk persembahan konsert pada hari kedua yang dimeriahkan dengan persembahan artis dan dikir barat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa menjadi ‘buruan’ pengedar produk kecantikan sejak Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire berlangsung.

Dia yang mesra disapa Kak Ya berkongsi, setiap hari menerima permintaan pengedar dari seluruh negara untuk tambahan stok kerana jualan memberangsangkan.

“Terima kasih DJ Lin dan Suria FM kerana membantu jualan dan jenama kami sejak sertai jelajah ini dan setiap hari pengedar produk saya meminta stok tambahan. Alhamdulillah juga jualan keseluruhan mencecah lebih enam angka dan kami berjaya mendapat lebih 100 usahawan baharu produk Yaya Empire sepanjang jelajah diadakan,” katanya.

Antara artis yang memeriahkan Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di Kota Bharu ialah Poey Sting, Baggio Damasutra, Afieq Shazwan, Floor 88 dan Sri Budi Jati.

Pelbagai aktiviti diatur termasuk pertandingan sepak bola antara penyampai Suria FM, JBSK, Yaya Empire dan AEON, persembahan silat dan pertandingan nyanyian lagu Dialek Kelantan.