November 17, 2024

Baling, Kedah – Penduduk Kampung Tandop kini boleh menarik nafas lega apabila Projek Air Bersih yang dilaksanakan dengan kerjasama Etiqa dan Islamic Aid Malaysia (IAM) berjaya meningkatkan taraf hidup lebih 1,000 penduduk kampung tersebut.

Projek ini, yang merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Etiqa, di bawah inisiatif Etiqa Cares dan program komuniti Hidup Sihat (Healthy Living), bertujuan menyediakan bekalan air bersih yang stabil dan mudah diakses sepanjang tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab. Halim, akses kepada air bersih merupakan hak asas setiap individu. “Kami di Etiqa komited untuk memastikan keperluan asas ini dipenuhi. Projek ini bukan sahaja mempermudah kehidupan harian penduduk Kampung Tandop, tetapi juga membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih selesa dan produktif,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab. Halim

Beliau turut menambah, projek ini adalah manifestasi visi Etiqa, “Making the World a Better Place”, dengan memberikan impak positif yang berkekalan kepada komuniti luar bandar.

Sistem Bekalan Air Mampan dan Mesra Alam

Projek ini membabitkan pembinaan sebuah tangki air di kawasan bukit berhampiran kampung, yang dilengkapi sistem paip sepanjang 3 kilometer. Air sungai ditakung di muka sauk sebelum disalurkan ke rumah pam. Ia kemudiannya ditapis dan dirawat menggunakan sistem penapis membran sintetik berskala tinggi, sebelum disimpan dalam dua tangki simpanan berkapasiti 3,000 gelen setiap satu.

Sistem ini tidak memerlukan tenaga elektrik, menjadikannya lebih mesra kos dan sesuai untuk kawasan luar bandar seperti Kampung Tandop. Selain digunakan untuk kegunaan harian penduduk, air bersih ini juga disalurkan ke masjid, sekolah agama, dan untuk aktiviti pertanian.

Manfaat kepada Komuniti

Majlis perasmian projek ini disempurnakan pada 16 November 2024 oleh Zafri Ab. Halim, dan dihadiri oleh Presiden Islamic Aid Malaysia, Zawahir Abdullah, serta penduduk setempat. Zawahir menyifatkan projek ini sebagai simbol kerjasama dan semangat gotong-royong penduduk Kampung Tandop.

“Projek ini dilaksanakan dengan penuh kerjasama penduduk kampung, walaupun berdepan cabaran cuaca. Saya amat bangga dengan semangat bersatu hati penduduk dalam menjayakan projek ini,” katanya.

Presiden Islamic Aid Malaysia, Zawahir Abdullah

Projek ini juga memberi manfaat dari segi kelestarian Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), yang menjadi tunjang kepada usaha Etiqa dalam membantu masyarakat luar bandar.

Projek Air Bersih: Legasi Berterusan

Sejak 2017, Etiqa telah melaksanakan lebih 20 projek air bersih di seluruh Malaysia, memberi manfaat kepada kira-kira 19,000 orang. Projek di Kampung Tandop adalah kesinambungan usaha ini, dengan harapan ia menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif serupa di masa depan.

Bagi penduduk Kampung Tandop, projek ini membawa perubahan besar selepas lebih 20 tahun bergantung kepada sumber air bukit yang tidak mencukupi. Kini, mereka boleh menikmati bekalan air bersih yang stabil sepanjang tahun, membawa sinar baharu kepada kehidupan mereka.